Laporan: Air bekas lombong ada toksik
Air dari bekas lombong yang sebelum ini kerajaan Selangor berhasrat menggunakannya bagi menyelesaikan masalah kekurangan air di negeri itu mengandungi 'toksik', lapor akhbar New Straits Times hari ini.
Akhbar itu menjalankan ujian makmal ke atas sampel air yang diperoleh terus daripada bekas lombong di Bestari Jaya, mendapati kandungan plumbum adalah 460 peratus melebihi paras selamat dan kandungan besi sebanyak 554 peratus daripada kadar sepatutnya.
Dalam laporan khas akhbar itu hari ini juga menyebut, pasukan NST mula mengumpulkan sampel air dari kolam perlombongan sejak Ahad dan menghantarnya untuk ujian makmal.
Keputusan ujian juga menunjukkan terdapat kandungan bahan kimia seperti mangan yang tinggi dan nikel dalam air.
Mangan adalah logam rapuh berwarna kelabu keputih-putihan dan digunakan dalam perusahaan membuat keluli dan kaca.
Laporan itu juga memetik dua kajian profesor Universiti Malaya pada 2010, yang menyatakan kepekatan logam dalam air itu melebihi paras yang dibenarkan oleh Piawaian Kualiti Air Malaysia.
Sebelum ini Malaysiakini melaporkan ahli parlimen Klang Charles Santiango menyatakan kebimbangannya terhadap perkara itu pada 29 April.
Santiago memberi amaran kepada kerajaan negeri berhubung kesan kesihatan daripada aktiviti semasa tetapi kerajaan negeri secara konsisten menegaskan bahawa air dari bekas lombong selamat untuk disalurkan ke loji rawatan air.

