Muslimat PAS tersinggung, buat laporan polis
Muslimat PAS Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis terhadap akaun Facebook yang didakwa menggelar wanita bertudung labuh yang turun ke himpunan anti-GST baru-baru ini sebagai 'pelacur kelas atasan'.
Laporan itu dibuat ketuanya, Nuridah Mohd Salleh di ibupejabat polis daerah Sentul pagi ini.
Nuridah mendakwa kenyataan itu dibuat menerusi akaun facebook bernama 'Abu Amru Radzi Othman' pada 2 Mei lalu.
Nurida merujuk laporannya itu kepada timbalan setiausaha sayap Ulama Muda (ILMU), Radzi Othman.
"Saya dengan ini membantah kenyataan tersebut kerana menganggap ia adalah satu kenyataan yang biadap dan juga menjatuhkan maruah saya serta peserta-peserta bertudung labuh lain," laporan polisnya dipetik.
Nuridah juga menuntut polis memanggil Radzi untuk dirakam keterangannya selain menuntut Radzi menarik balik kenyataan beliau dan meminta maaf kepada wanita bertudung labuh.
Sementara itu, akaun yang disebut Nuridah itu, dalam masukan terbarunya bagaimanapun menafikan menggelar wanita bertudung labuh sebagai pelacur 'kelas atasan'.
Sebaliknya jelas beliau, ia cuma satu perumpamaan semata-mata.
Jelas pemilik akaun itu lagi, sekretariat Ulama Muda Umno juga tidak wujud tetapi Pemuda Umno baru sahaja menubuhkan Majlis Ulama Muda Umno, katanya.
"Majlis Ulama Muda Umno yang baru dilancarkan baru-baru ini belum ada struktur.

