Seorang broker rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas dua pertuduhan melepaskan tembakan ke arah dua anggota polis dari Balai Polis Pandan Indah, bulan lepas.

    

Abdul Aziz Soh Abdullah, 44, dari Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan sempat berkata, "Tolong siasat, saya betul-betul tak buat", selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Zulyana Zollkapli.

    

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

    

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Abdul Aziz didakwa melepaskan tembakan kepada Lans Koperal Lionel Richard Jr dan Konstabel Zullfadzly Atlah dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan terhadap mereka di tepi Jalan Maju 1/16, Taman Lembah Maju, Pandai Indah, Ampang Jaya pada 10.52 pagi, 11 April lepas.

    

Dia, yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

    

Mahkamah kemudiannya menetapkan 7 Ogos depan untuk sebutan bagi penyerahan laporan kimia.

    

- Bernama