Kerajaan Selangor menyangkal laporan New Straits Times hari ini yang mendakwa air bekas lombong yang dipamkan ke Sungai Selangor tidak selamat.

"Dakwaan akhbar berkenaan amat berbeza dengan laporan penuh yang diterima oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang mendapati air bekas lombong itu selamat untuk pengguna," kata Exco kerajaan Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau adalah pengerusi jawatankuasa tetap belia dan sukan, inftrastruktur Dan kemudahan awam Selangor.

Menurutnya, laporan yang diperolehi LUAS hasil sampel yang dihantar kepada Jabatan Kimia pada 2 Mei lalu menunjukkan kandungan besi, magnesium, nickel, dan plumbum  di bawah paras yang dibenarkan Kementerian Kesihatan.

Sebagai contoh, katanya, kandungan plumbum dalam laporan NST itu mendakwa  terdapat 460 peratus lebih dari had yang dibenarkan sedangkan Jabatan Kimia mengesahkan kesemua kolam bekas lombong mengandungi plumbum di bawah paras dibenarkan Kementerian Kesihatan.

"Air lombong ini dipamkan ke Sungai Selangor dan disalurkan ke Loji Pembersihan Air (LPA) Empangan Sungai Selangor.

"Air ini perlu melalui beberapa proses rawatan untuk pembersihan dan diwajibkan melepasi pemeriksaan kualiti mengikut piawaian yang ditetapkan selepas disalurkan kepada pengguna," tambahnya.

Kerajaan negeri, katanya, memberi jaminan air lombong yang disalurkan kepada adalah selamat untuk digunakan berdasarkan jaminan yang diberikan LUAS.  

"Perlu dingatkan kepada pengguna bahawa air yang disalurkan ke paip-paip mereka bukan air mentah tetapi air terawat yang telah melepasi beberapa proses rawatan.

"Kita tegaskan kerajaan negeri sentiasa mengutamakan keselamatan rakyat dan tidak akan sesekali berkompromi dengan isu-isu yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di Lembah Klang," tambahnya.