Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
4 PBT S'gor tersenarai terbaik di M'sia
Diterbitkan:  May 7, 2014 5:00 PM
Dikemaskini: 9:12 AM

Kerajaan negeri Selangor amat berbangga dengan pencapaian Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang diiktiraf sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik di Malaysia di kalangan 100 PBT di negara ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Datuk Teng Chang Khim berkata MPSJ antara dua PBT yang mendapat penarafan lima bintang oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bawah Sistem Penarafan Bintang PBT.

"Ini adalah julung-julung kalinya PBT di Malaysia menerima penarafan lima bintang sejak program itu dilancarkan.

"Lebih membanggakan empat PBT Selangor tersenarai di kalangan 10 PBT terbaik di negara ini (iaitu) Majlis Bandaraya Petaling Jaya di tempat ke-6, Majlis Perbandaran Klang tempat ke-7 dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya tempat ke-10," katanya.

Dalam kenyataan petang ini, Teng berkata Majlis Bandaraya Shah Alam pula menerima taraf lima bintang dalam kategori memartabatkan bahasa kebangsaan di tempat awam.

Sementara itu, katanya, sembilan daripada 12 PBT di Selangor menerima taraf empat bintang iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Daerah Kuala Langat, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Kajang dan  Majlis Daerah Kuala Selangor.

Manakala, dua PBT iaitu Majlis Daerah Sabak Bernam dan Majlis Daerah Hulu Selangor mengekalkan taraf tiga bintang.

"Sistem penarafan bintang diperkenalkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan PBT kepada rakyat dan memastikan perkhidmatan yang diberikan lebih cekap dan berkualiti.

"Sistem penilaian yang dilaksanakan berdasarkan empat kriteria utama iaitu pengurusan, perkhidmatan teras, pengurusan pelanggan dan penyertaan komuniti," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada seluruh kakitangan PBT dan mempertimbangkan untuk memberi insentif tertentu kepada PBT terlibat sebagai penghargaan terhadap komitmen tinggi yang ditunjukkan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad yang diktiraf sebagai Datuk Bandar Wanita Pertama di Malaysia oleh Malaysia Book of Records dan termasuk dalam kalangan lima Datuk Bandar Wanita di dunia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS