Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menegaskan bahawa ia tidak akan teragak-agak untuk menyaman laporan media yang mempersoalkan kualiti air dari sumber air alternatif yang sedang dipam untuk menambah bekalan air di negeri ini.

"LUAS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja atau tidak sengaja memberikan tanggapan yang salah kepada kualiti air mentah dan air yang dirawat," kata Pengarah, Md Khairi Selamat dalam satu kenyataan hari ini.

Khairi mengulas laporan akhbar New Straits Times yang menyebut bahawa ujian bebas mendedahkan bahawa air bekas lombong mengandungi toksik.

Menurutnya Md Khairy, kolam-kolam sumber air alternatif telah pun dikenalpasti oleh LUAS sejak tahun 2009 lagi.

"Pihak LUAS bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) telah menjalankan pensampelan air kolam alternatif semenjak tahun 2011. Analisis sampel-sampel air kolam alternatif dijalankan oleh Jabatan Kimia Malaysia (JKM).

"Keputusan analisis pensampelan yang dikeluarkan oleh JKM bagi tahun 2011 hingga 2013 adalah mematuhi Kualiti Air Mentah Yang Disyorkan di dalam Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," tambahnya.

Menurutnya lagi pensampelan telah dijalankan pada 2 Mei 2014 yang lepas di lima  buah kolam iaitu Kolam Kambing Susu, Kolam KL-Larut, Kolam Hang Tuah 1, Kolam Hang Tuah 2, Kolam Rasa dan satu sampel di Sungai Selangor.

Sampel-sampel tersebut, tambahnya, telah dihantar ke JKM dan makmal pihak ketiga yang mendapat akreditasi, iaitu ALS Tehnicam (M) Sdn Bhd.

"Sebanyak 27 parameter telah diuji yang mana merangkumi kategori fizikal, logam dan logam berat.

"Hasil analisa menunjukkan parameter logam berat di dalam kolam tersebut mematuhi had piawaian yang ditetapkan oleh KKM. Terdapat beberapa parameter  di dalam kumpulan logam yang melebihi piawaian namun dengan kuantiti yang sedikit dan boleh dirawat oleh loji pembersihan air (LPA).

"Kajian yang telah dijalankan oleh perunding yang dilantik oleh LUAS pada tahun 2012 juga menunjukkan secara keseluruhannya parameter logam berat adalah mematuhi had piawaian yang ditetapkan.

"Berdasarkan laporan kuaiti air mentah yang direkodkan oleh Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) pada bulan Mac di mana pada waktu yang sama terdapat kerja-kerja pengepaman air dari kolam ke dalam Sungai Selangor, tiada sebarang perlanggaran direkodkan bagi parameter logam berat.

:Ini dibuktikan melalui laporan kualiti air terawat yang menunjukkan semua parameter adalah mematuhi had piawaian yang ditetapkan.

"Dalam masa yang sama, pihak LUAS sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan kualiti air mentah adalah mematuhi had piawaian yang ditetapkan untuk dirawat oleh LPA dan selamat untuk digunakan oleh orang ramai.

"Pihak LUAS tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak secara sengaja atau tidak sengaja memberi gambaran yang salah terhadap kualiti air mentah dan air terawat," kata Md Khairi.