ULASAN Hubungan antara agama di negara ini sedang diuji pada tahap maksimumnya dan rakyat di negara ini terpaksa berada pada tahap kesabaran yang tinggi bagi meneruskan cita-cita Malaysia yang terbina atas hormat menghormati antara satu sama lain.

Walaupun teras negara ini terbina atas Islam sebagai agama rasmi negara dan kebebasan beragama untuk penganut lain namun ada di kalangan kita yang memekakkan telinga mereka dan membutakan mata mereka hanya untuk mendengar dan melihat kepentingan agenda sempit mereka semata-mata.

Seminar yang baru-baru ini diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) anjuran bersama pelbagai pihak termasuk UiTM sendiri, dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak banyak membantu memulihkan luka hubungan antara agama di negara ini, malah ia mungkin dilihat menambahkan lagi garam pada luka yang belum sembuh.

Saya tidak tahu apakah motif di sebalik penganjuran seminar itu kerana jika ia bertujuan mengukuhkan akidah umat Islam, maka ia sesuatu yang baik dan murni, namun ini bukan bermakna kita diberi lesen untuk mengutuk agama lain.

Jikalau tujuan adalah untuk menghayati kehidupan agama yang rencam, maka pelbagai pihak daripada agama lain hendaklah dijemput sama supaya perspektif agama lain dinilai dari kacamata penganutnya.

Jika ia bertujuan untuk berdebat kepada rumusan betul dan salah, maka suasana yang adil dengan memberi suara kepada agama yang dibincangkan untuk mempertahankan diri perlu ada dan kemudian terpulanglah kepada peserta untuk membuat penilaian sendiri.

Jika suasana ini menguasai seminar maka ia adalah suasana intelektual yang sihat dan harus digalakkan. Sebaliknya tanpa suasana yang disebutkan di atas, ia hanya akan mengundang pelbagai keraguan dan mengeruhkan keadaan yang sudahpun tegang hari ini.

Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan”. (Surah Al An'am: 108)

Bawa bukti kukuh

Pihak penganjur seharusnya lebih arif untuk tidak menjadikan seminar ini sebagai wahana mencetuskan benci membenci antara agama sekalipun dalam rangka mempertahankan apa yang dianggap hak umat Islam.

Adalah lebih berkesan jika pihak Kristian dijemput sama untuk menjelaskan hal yang menjadi kebimbangan umat Islam seperti penggunaan “kalimah” Allah, supaya sikap prejudis di antara sama lain dapat dikurangkan.

Apatah lagi dakwaan-dakwaan usaha kristianisasi yang dikatakan merebak di dalam masyarakat Islam di Malaysia adalah tuduhan yang amat berat.

Jika ada bukti usaha ini maka yang mendakwa hendaklah mendatangkan bukti yang kukuh dan membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana penyebaran agama lain selain Islam adalah salah dari sudut artikel 11(4).

Jika dakwaan kristianisasi dan pemurtadan umat Islam dibuat sebagai kenyataan umum sahaja, maka ia berpotensi menimbulkan kemarahan kedua belah pihak malah menjejaskan kedudukan hubungan Islam-Kristian di peringkat global.

Kita tidak dapat elak daripada terkesan dengan apa yang berlaku di Malaysia kepada apa yang mungkin berlaku di peringkat antarabangsa di mana sesetengah tempat di bahagian dunia di mana umat Islam adalah minoriti.

Saya menyeru semua pihak supaya tidak memusing jarum jam ke belakang dalam memperkukuhkan hubungan antara agama di negara ini berpandukan kepada apa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan usaha semua pihak melihat hubungan damai antara penganut agama di negara Malaysia maju ke hadapan.

 


DATUK Dr MUJAHID YUSOF RAWA adalah Ahli Parlimen PAS Parit Buntar dan Ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Negara.