MCA akan melaksanakan pelbagai program bagi menarik semula keyakinan masyarakat Cina kepada kerajaan dan Barisan Nasional (BN).

    

Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata melalui program yang lebih menyeluruh ini, ia akan dapat memberikan gambaran jelas kepada masyarakat Cina berhubung hala tuju parti itu dan BN yang boleh dicapai melalui program transformasi.

    

Kerajaan mempunyai banyak program yang baik tetapi MCA perlu menjelmakannya bagi memastikan masyarakat Cina faham dan turut sama menjayakannya serta berbangga menjadi rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat berhubung transformasi parti kepada anggota MCA Negeri Sembilan di Seremban malam tadi.

Beliau juga berkata MCA akan mengadakan carta masa untuk program transformasi parti itu.

    

Liow berkata pihaknya juga akan memastikan semua rakyat berbilang kaum diberi peluang melibatkan diri dalam semua dasar yang digariskan agar BN dapat melaksanakan dasar yang lebih terbuka dan baik bagi meningkatkan daya saing negara.

    

"Ini bermakna, semangat kekitaan perlu ada (di kalangan rakyat) dan bagaimana transformasi negara ini dapat melibatkan semua rakyat di negara ini.

    

Kita ada banyak lagi program yang melibatkan komuniti Cina secara efektif dalam proses pembangunan negara dan yang penting sekali kita kena mengakui sumbangan masyarakat Cina di negara ini," kata Liow.

    

Di samping itu, Liow berkata usaha perlu dilakukan bagi menggalakkan masyarakat agar terus memberi sumbangan kepada negara.

    

"Dengan itu dan ditambah lagi suasana keharmonian dan perpaduan yang dapat kita wujudkan, ini akan dapat membantu pembangunan negara," katanya.

    

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong.

- Bernama