PRK kerusi Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei
Pilihan raya kecil parlimen Teluk Intan akan diadakan pada 31 Mei ini manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 19 Mei, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Seah, 48, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.
Kempen pilihan raya kecil parlimen itu selama 12 hari - enam hari selepas pilihan raya kecil parlimen Bukit Gelugor berakhir pada 25 Mei.
Manakala pengundian awal ditetapkan pada 27 Mei. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2013 yang diwartakan pada 30 April 2014 dan dikemaskinikan sehingga 1 Mei 2014.
"Sebanyak 36 pusat mengundi akan dibuka dengan 35 untuk pengundian biasa yang mempunyai 120 saluran dan satu pusat untuk pengundian awal," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan kerusi berkenaan di Putrajaya hari ini.
Abdul Aziz berkata Dewan Sekolah Menengah Seri Perak, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan juga penjumlahan undi.
"Kos untuk PRK kali ini ialah kira-kira RM1.4 juta dan seramai 957 petugas akan dilantik," katanya.
Katanya 60,349 pemilih berdaftar terdiri daripada 59,927 pengundi biasa, 410 pengundi awal dan 12 pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
"Bagi pecahan kaum pula seramai 23,301 terdiri daripada pengundi Melayu, 25,310 pengundi Cina manakala pengundi India seramai 11,468," katanya.
Beliau berkata daftar pemilih berkenaan akan mula dijual pada 17 Mei depan.
Pengundi yang ingin membuat semakan boleh melayari laman sesawang www.spr.gov.my serta melalui khidmat pesanan ringkas SPR<jarak> SEMAK <jarak> NO. KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888 mulai
Abdul Aziz berkata bagi kategori umur pula, pengundi berumur antara 30 hingga 39 adalah paling ramai iaitu 12,365 orang.
"Terdapat juga pengundi yang melebihi umur 100 tahun iaitu seramai 45 orang," katanya.
Abdul Aziz berkata bagi tujuan keselamatan, SPR akan menubuhkan dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya.
"Seperti biasa hanya pemerhati rasmi yang dilantik sahaja dibenarkan untuk membuat pemerhatian di pusat penamaan calon, pusat mengundi awal, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan penjumlahan undi," katanya.

