BERITA

MCA tidak bertanding di PRK Bukit Gelugor

Diterbitkan
Dikemaskini 10 Mei 2014, 12:35 tengahari

Hanya beberapa jam selepas DAP mengumumkan Ramkarpal Singh sebagai calonnya bagi pilihan raya kecil (PRK) Bukit Gelugor, MCA mengumumkan parti itu tidak akan bertanding dalam PRK tersebut.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata parti itu telah mencapai keputusan yang terbaik selepas mengkaji senario politik dan selepas berunding dengan ahli-ahli parti mengenai perkara itu.

Ong (kanan) berkata, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN,

Datuk Seri Najib Tun Razak tahu mengenai keputusan tersebut, sambil menambah bahawa keputusan muktamad dibuat dalam mesyuarat majlis presiden pagi ini di Ipoh, Perak.

Parti itu sebelum ini menimbang sama ada hendak bertanding atau tidak, dan telah menjalankan "kajian saintifik" di kalangan 400 pengundi di Bukit Gelugor untuk membantunya membuat keputusan yang tepat.

Walaupun perkara itu pertama kali dilaporkan dalam media Cina, Ong berkata, pengumuman di Pulau Pinang itu adalah "versi rasmi" .

Bercakap di ibupejabat parti itu di ibunegara, Ong berkata, MCA tidak bertanding di Bukit Gelugor kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap isu hudud bagi  melindungi perlembagaan persekutuan.

Jika MCA bertanding, katanya, beberapa isu mungkin timbul dan memesongkan tumpuan parti itu untuk menghalang rang Undang-undang persendirian ahli PAS dibentangkan di Parlimen pada 9 Jun.

Katanya, MCA berharap rakyat akan memahami mengapa ia mengambil keputusan tersebut.

Walaupun tidak bertanding, tegas Ong, partinya akan terus berkhidmat kepada rakyat.

Mengenai respon Najib terhadap keputusan MCA untuk tidak bertanding, Ong berkata, sebelum ini PM telah meminta partinya untuk mencari faktor-faktor positif yang akan memastikan kemenangan dalam pilihan raya kecil itu.

Ong berkata, pihaknya telah berusaha keras dan merasakan bahawa mereka tidak dapat mencari satu faktor positif yang boleh mencapai matlamat tersebut.

Turut hadir ialah ketua perhubungan MCA negeri, Datin Paduka Chew Mei Fun dan penasihat MCA negeri, Koay Kar Huah.

Mengenai sama ada MCA akan menyokong mana-mana calon bebas, Ong berkata, menjadi dasar parti itu untuk  tidak menyokong mana-mana parti kerana ia memutuskan tidak bertanding.

Sementara itu, Bernama melaporkan Ong berkata perdana menteri yang juga pengerusi BN menerima keputusan parti itu selepas berbincang serta mendengar pendapat pimpinan tertinggi dan akar umbi parti itu.

Ditanya sama ada keputusan itu mendapat persetujuan akar umbi, Ong berkata terdapat pelbagai pandangan daripada mereka, bagaimanapun kebanyakan anggota parti mahukan MCA memperkukuh kedudukan parti selain memberi fokus kepada persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau berkata walaupun tidak bertanding dalam pilihan raya kecil itu, MCA akan terus berkhidmat kepada rakyat terutamanya pengundi di kawasan Parlimen Bukit Gelugor bagi memastikan isu-isu berbangkit mendapat perhatian sewajarnya.

Sementara itu, Chew berkata Jawatankuasa Perhubungan MCA Pulau Pinang berpendapat pelaksanaan hukum hudud oleh PAS bakal mencetuskan krisis Perlembagaan.

Beliau berkata MCA negeri akan menumpukan segala tenaga dan masa untuk menangani krisis itu dan parti itu juga akan mengadakan lebih banyak dialog dan usaha untuk mengekalkan integriti Perlembagaan.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran kematian penyandangnya

dari DAP, Karpal Singh dalam nahas jalan raya bulan lalu.

DAP telah mencalonkan anak ketiga Karpal - Ramkarpal Singh - untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Dalam pilihan raya umum lepas, calon MCA, Teh Beng Yeam kalah kepada Karpal dengan majoriti besar 41,778 undi. Teh hanya mendapat 14,061 undi.

Hari penamaan calon ditetapkan Isnin ini di Dewan Sri Pinang , manakala pengundian pada 25 Mei.

[Baca berita penuh]

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.