Satu tulisan pojok dalam akhbar Mingguan Malaysia menegaskan bahawa sistem satu sekolah yang tidak berasaskan kaum perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum ruangan kaum dalam borang kerajaan dimansuhkan.

Tulisan dalam pojok 'Bisik-bisik Awang Selamat' menegaskan, sistem persekolahan yang tidak berasaskan kaum itu merupakan formula terbaik untuk menyemai persefahaman kaum.

“Bereskan terlebih dahulu isu pokok yang lebih mendesak iaitu pelaksanaan sistem satu persekolahan (agar tidak lagi) beraskan kaum.

“Untuk melahirkan bangsa Malaysia yang lebih bersatu dengan akar perpaduan yang kuat, tidak cukup sekadar menghapuskan ruangan kaum dalam borang dan hak istimewa bumiputera.

“Asasnya adalah sistem pendidikan tunggal sebagaimana yang diamalkan di negara lain,” tulisan itu dipetik.

Pengarang berkenaan turut berpendapat, identiti sesuatu kaum itu tidak pudar sekiranya menyertai sistem persekolahan seperti itu dan perkara itu boleh dilihat terbukti di seluruh dunia, dakwanya.

Tulisannya itu timbul ekoran satu laporan yang mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Joseph Entulu Belaun berkata ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan akan digugurkan.

Joseph Entulu kemudiannya memohon maaf atas kesilapan tersebut.