PERKASA: Buktikan rakyat sokong mansuh ISA
Kumpulan pendesak Melayu PERKASA mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan referendum untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia sememangnya mahu ISA dimansuhkan.
Ketua PERKASA Perlis Ameir Hassan berkata golongan yang berhasrat demikian bukan dari kalangan anggota Umno tetapi golongan “ekstremis” dan “radikal”.
Beliau mendakwa, golongan yang mahu akta itu dimansuhkan termasuk “sekumpulan kecil Melayu” dan juga kelompok anti kerajaan dan pihak yang ingin memecahbelahkan masyarakat.
“(Golongan ini) khususnya DAP dan PKR yang berhasrat untuk menggulingkan kerajaan yang sah dengan apa cara sekalipun malah di luar Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
“Elok juga mulakan buat pungutan suara dari kalangan ahli Umno dahulu sama ada ahli Umno sendiri setuju atau tidak dalam mesyuarat agung peringkat bahagian nanti sebab PERKASA terima maklum balas majoriti orang Umno menolaknya.
“Bahkan ramai menteri Umno melahirkan rasa kecewa ISA dihapuskan,” dakwanya tanpa menamakan menteri terbabit.
Beliau mengulas kenyataan Najib melalaui satu siaran BernamaTV semalam, yang menyebut bahawa “majoriti” rakyat Malaysia menyokong keputusan untuk memansuhkan ISA pada September 2011.
"Saya percaya majoriti rakyat Malaysia mahu ruang lebih luas dalam wacana politik tanah air. "Kalau kita buat penilaian, tidak semua hendak balik kepada zaman ISA. Saya lihat ini sebagai satu perkembangan positif," kata Najib dalam wawancara tersebut.
Pemimpin PERKASA itu bagaimanapun mempertahankan bahawa ISA perlu dikekalkan, Katanya, ia bagi memantau tiga kaum utama di Malaysia.
“Kewujudan ISA telah menjadi pemantau kepada tiga kaum ini untuk hormat menghormati didalam kehidupan seharian, saling membantu disektor ekonomi dan saling bekerjasama dalam mengamalkan politik bersih dan sihat dan menghormati amalan kepercayaan ugama masing-masing,” katanya.
Beliau juga mendakwa, ISA menjadi tonggak utama bagi Perkara 149 dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak harus dimansuhkan tanpa sokongan dua pertiga di Parlimen.
Perkara 149 itu merujuk kepada undang-undang khas ke atas perbuatan subversif dan memudaratkan ketenteraman awam.
ISA telahpun dimansukan dan digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

