Hudud bukanlah isu Pakatan Rakyat sebaliknya merupakan isu yang dimainkan Umno untuk memecahbelahkan mereka, kata Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Beliau berkata PAS, DAP dan PKR telah bersetuju untuk membincangkan segala isu dan membuat keputusan secara konsensus bagi memastikan semua pihak tidak bertelagah.

"Isu ini dimainkan Umno. Bukan isu Pakatan.

"Kita kena pastikan tidak terperangkap dengan permainan mereka," kata beliau kepada wartawan selepas melancarkan bilik gerakan PKR untuk pilihan raya Bukit Gelugor hari ini.

Semalam presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan PAS tidak akan mengemukakan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi memberi ruang kepada jawatankuasa teknikal bersama membuat saranan berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan.

Menurut beliau barisan jawatankuasa pusat PAS yang bermesyuarat terdahulu turut menyokong kerjasama melalui jawatankuasa teknikal tersebut.

Azmin memuji tindakan PAS dan berkata ia akan terus dibincangkan bersama rakan pakatan yang lain.

"Dalam Pakatan Rakyat kita bekerja bawah konsensus dan tidak boleh halang sesiapa termasuk PAS nak buat perkara yang mereka ada hak untuk buat," kata beliau.