Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menangkis dakwaan bahawa NGO itu bersikap rasis dan menyifatkan tuduhan seperti itu sebagai serangan psikologi untuk menutup mulut mereka dalam memperjuang hak Melayu-Islam.

Presiden ISMA Abdullah Zaik Abd Rahman dalam kenyataannya turut memberi amaran mengenai kewujudan golongan yang didakwanya sebagai "Yahudi Zionis Evangelis", yang menurutnya mahu "meleburkan jati diri umat dan menguburkan Islam sebagai identiti negara".  

"Waspadalah dengan permainan musuh. Tuduhan rasis, ekstremis dan seumpamanya adalah serangan psikologi dan minda agar puak peribumi tidak berani untuk bangkit mempertahankan hak mereka," tulisnya.

Tegasnya, slogan seperti kebebasan, kesamarataan, dan persaudaraan sesama insan akan diguna oleh golongan "kapitalis Yahudi" untuk menguasai umat Islam.

"Sedarlah, mereka menggula-gulakan orang Islam dengan slogan berkilau, seperti kebebasan, kesamarataan dan persaudaraan insan.

"Tidak cukup dengan itu, mereka mengapungkan pegangan agama, lalu diganti dengan piagam hak asasi manusia dan nilaisejagat.

"Apabila umat Islam telah benar-benar menelan umpan, maka puak kapitalis Yahudi menerusi proksi mereka akan memperkukuhkan kedudukan mencengkam sepenuhnya setiap sendi kekuasaan," tulisnya lagi.

Pada masa sama dakwanya, golongan yang menguasai umat Melayu Islam ini akan dibela oleh golongan Islam liberal yang akhirnya akan turut menyesal apabila kesucian agama dan bangsa tergadai.

"Mereka akan dibentengi oleh puak Islam liberal yang terpedaya dengan janji kemajuan yang menipu, atau dibentengi oleh golongan yang terbelenggu dengan serangan psikologi, sehingga sanggup mempertahankan agenda musuh, biarpun kesucian agama dan maruah bangsa tergadai, atas nama dakwah, toleransi dan keharmonian kaum.

"Malangnya, tanpa mereka sedari, segala yang mereka miliki telah hilang daripada pegangan. Waktu mereka memahaminya, tatkala itu tangisan penyesalan sudah tidak berguna lagi," tulisnya