Pengelola sekolah Cina Damansara terima amaran kementerian
versi terkini Kementerian Pendidikan mengancam tindakan undang-undang terhadap pengelola sekolah Cina Damansara dan pemegang amanah tokong, tempat belajar sementara bagi 74 murid itu.
Menurut satu surat daripada kementerian itu, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjara selama tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya kerana bertugas di sekolah yang tidak didaftarkan.
Dalam "surat peringatan" bertarikh 18 April lalu, mereka juga boleh dikenakan tindakan denda RM5,000 kerana membenarkan bangunan itu digunakan untuk menempatkan sekolah yang tidak berdaftar.
Perkara ini diumumkan oleh Tommy Chin, seorang pemimpin jawatankuasa kempen 'Selamatkan Sekolah Asal' (SOS), pagi ini dalam sidang akhbar di tokong itu.
Pengelolanya, yang tidak disebutkan nama, mengetuai sekumpulan tenaga pengajar sukarela sejak Januari lalu apabila kementerian mengarahkan semua pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Damansara ke SJK Puay Chai II di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Perpindahan itu dilakukan sebelum kerajaan menyiapkan pembinaan SJK Damansara yang baru di taman perumahan Tropicana, Damansara.
Semua pelajar berpindah, kecuali lebih 70 pelajar itu yang masih meneruskan pembelajaran di kelas-kelas yang dibina di kawasan tokong itu, tidak jauh dari sekolah asal.
Menurut Chin, surat yang ditandatangani Ketua Pendaftar Sekolah dan Guru Abdul Rafie Mahat hanya dihantar oleh dua pegawai kementerian itu dan diiringi seorang anggota polis pada Isnin lalu kepada mereka.
Tambahnya, mereka yang sukarela meluangkan masa membantu pembelajaran kumpulan murid itu patut dipuji dan bukannya menerima amaran daripada kementerian.
"Tindakan pihak berkuasa akan mengganggu pendidikan 74 orang pelajar, tindakan ini tidak berperikemanusiaan dan tidak masuk akal," kata Chin.
SOS berharap dapat mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa berkenaan untuk mencari jalan bagi menyelesaikan masalah pendidikan murid-murid itu.
Menurut penasihat SOS, Ronnie Liu, selama ini jemputan berdialog semuanya ditolak oleh kementerian, maka tindakan mengeluarkan surat amaran itu tidak sepatutnya berlaku.
"Timbalan menteri pendidikan Hon Choon Kim tidak harus mendiamkan diri dan berlindung di belakang pegawai kementeriannya, beliau patut menerangkan pendiriannya," kata Liu, yang juga Ketua Biro Penerangan DAP.
Liu juga menyeru Lembaga Pengarah Sekolah Damansara agar berjumpa dengan SOS supaya mereka dapat menyelesaikan isu itu yang telah berlarutan 122 hari.
Dalam kempennya, SOS sehingga kini telah berjaya mengumpul lebih 100,000 tandatangan sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Sementara itu Ketua Eksekutif Dong Zong, badan yang mewakili semua lembaga pentadbir sekolah Cina di Malaysia, Bok Tai Hee berkata tekanan dan denda tidak menyelesaikan masalah pendidikan rakyat.
"Kerajaan patut bersikap penyayang kepada Sekolah Damansara dan bukannya bersikap dingin, kunci penyelesaian masalah ini di tangan kementerian pendidikan," kata Bok.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.