Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepaskan tiga aktivis daripada tuduhan melanggar Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 selepas memutuskan bahawa ia terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Seksyen 9 (5) PAA adalah tidak sah.

Bagaimanapun, Hakim Ahmad Bache memutuskan bahawa mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk mendengar pertuduhan itu dan merekodkan rayuan ketiga-tiga tertuduh - Badrul Hisham Shaharin, Mohamed Bukhairy dan Edy Noor Reduan.

"Dan dengan itu, saya membenarkan pertuduhan dibaca," kata Ahmad.

Badrul Hisham, Bukhairy dan Edy Noor mengaku tidak bersalah dan selepas itu Ahmad memutuskan mereka dilepas tanpa dibebaskan.

Ahmad juga berkata keputusan Mahkamah Rayuan harus dilihat sebagai keputusan retrospektif yang bermula sejak hari PAA diluluskan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab hujah Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim bahawa kesalahan ketiga-tiga mereka dilakukan sebelum seksyen itu diisytiharkan tidak sah.

Ketiga-tiga mereka dituduh melanggar Seksyen 9 (1) PAA yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9 (5) kerana menganjurkan perhimpunan, tanpa memberi notis terlebih dahulu, di Dataran Merdeka pada ambang malam Tahun Baru.

Gobind Singh Deo mewakili ketiga-tiga mereka.

[Baca berita penuh]