Didakwa semula, mahkamah bebaskan Chegubard
Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur membebas tanpa melepaskan tiga aktivis daripada pertuduhan melanggar Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2013 kerana menganjurkan perhimpunan membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada malam ambang tahun baru.
Mahkamah membuat keputusan itu kerana terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Seksyen 9(5) dalam akta itu bercanggah dengan perlembagaan.
Bagaimanapun, hakim Ahmad Bache memutuskan, mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan merakamkan pengakuan daripada Badrul Hisham Shaharin, Mohamed Bukhairy dan Edy Noor Reduan.
“Oleh itu, saya benarkan pertuduhan dibacakan,” kata Ahmad.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan hakim selepas itu membebas tanpa melepaskan mereka.
Mereka diwakili peguam Gobind Singh Deo.
Mereka didakwa melanggar Seksyen 9(1) PAA kerana mengambilkan perhimpunan tanpa notis di Dataran Merdeka dan jika sabit kesalahan boleh didakwa bawah Seksyen 9(5) akta sama.

