Exco jamin kualiti air S'gor patuhi piawai
Exco Kerajaan negeri Selangor Ahmad Yunus Hairi memberi jaminan untuk membatalkan operasi mengeluarkan air dari kolam bekas lombong sekiranya mutu air tersebut tidak mematuhi had piawai yang ditetapkan.
Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa belia dan sukan, infrastruktur dan kemudahan awam berkata kualiti air terawat mematuhi had yang ditetapkan Jabatan Kimia Malaysia.
Bahkan, katanya lagi, pemantauan berterusan akan dilakukan ke atas air bekas lombong melalui persampelan kualiti air yang lebih kerap.
Walaupun terdapat beberapa air bekas lombong mengandungi logam melebihi piawaian, Ahmad Yunus bagaimanapun berkata ia dirawat berdasarkan laporan air mentah yang direkod Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) bersama dengan laporan kerja pengepaman air kolam ke dalam Sungai Selangor pada Mac lalu.
"Laporan air terawat tersebut (daripada kerja-kerja pengepaman air bekas lombong) menunjukkan semua parameter adalah mematuhi had piawaian ditetapkan.
"Sekiranya kualiti air tersebut tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan, operasi mengabstrak air (bekas lombong) tidak akan dilakukan dan loji pembersihan air tidak akan beroperasi sehingga kualiti air mencapai piawaian berkenaan," katanya dalam sidang media tengah hari tadi.
Dalam laporan media sebelum ini, satu kajian kualiti air telah mendapat bekalan air bekas lombong di Bestari Jaya mengandungi toksik termasuk kandungan plumbum melebihi paras piawaian.
Bagaimanapun, Ahmad Yunus menyangkal laporan itu dengan menegaskan air bekas lombong itu selamat untuk digunakan berdasarkan rekod yang diterima Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) daripada Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan.
Sementara itu, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim memaklumkan satu rundingan mengenai Syeksen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan dilakukan pada Jumaat ini.
Katanya rundingan tersebut menumpukan soal pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi industri air di negeri Selangor.
" Kerajaan negeri telah bersetuju dengan kementerian untuk menetapkan Jumaat ini sebagai tarikh terakhir samaada seksyen 114 akan dilaksanakan (di negeri selangor atau tidak).
"Tumpuan rundingan ialah bagaimana syeksen 114 ini dapat menentukan selesainya pengambilalihan oleh Kerajaan Persekutuan aset-aset pengerusan operasi (syarikat konsesi) ini diambilalih oleh Kerajaan negeri Selangor," katanya.

