Barisan Jamaah Islamiyah SeMalaysia (Berjasa) mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, 31 Mei ini.
Presidennya Mohd Yusuf Harun berkata parti itu akan bermesyuarat di Kuala Lumpur esok bagi menentukan calon yang akan bertanding pada PRK.
"Kita akan umum dan perkenalkan calon di majlis pengenalan calon parti Berjasa bagi PRK Teluk Intan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata parti itu yang selama ini menjadi pemerhati pasif kepada senario politik semasa, mengambil keputusan untuk menyertai gelanggang politik secara aktif, proaktif dan inovatif.
PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 58, daripada DAP pada 1 Mei lepas.
Penamaan calon PRK Teluk Intan akan diadakan pada 19 Mei.
Dalam pilihan raya umum ke-13, Seah, 48, menewaskan calon BN, Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.
Sementara itu, DAP akan mengumumkan calonnya bagi pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan Sabtu ini, kata Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengiringi calon DAP untuk pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh Deo melawat pasar basah Farlim di George Town hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 Mei sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal 27 Mei dan hari pengundian pada 31 Mei.
- Bernama
