MCA menggesa pihak berkuasa menyiasat dan menahan individu yang bertanggungjawab menyerang dan mencederakan dua orang rahib dalam satu kejadian di Serermban, semalam.

Naib pengerusi Wanita MCA Ong Chong Swen berkata berkata beliau sangat terkejut apabila mendapati dua orang rahib warga emas itu diserang di perkarangan gereja Visitation Church.

Polis perlu mencari suspek berkenaan hingga ke lubang cacing, katanya lagi yang menambah pasukan itu harus meningkatkan rondaan di kawasan terbabit.

“Saya juga menggesa rakyat Malaysia dari segenap fahaman untuk menyatakan kemarahan ke atas penyerang terbabit dan berdoa untuk Sister Mary Rose dan Sister Juliana Lim supaya kembali pulih dari kecederaan," katanya dalam satu kenyataan.

Laporan sebelum ini menyebut kedua-dua orang rahib berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala dan salah seorang daripada dalam keadaan kritikal.

Sementara itu, Bernama melaporkan polis mengesahkan bahawa kes serangan tersebut melibatkan kes samun.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, rahib wanita yang berumur 69 dan 79 tahun tersebut  sedang berada di pintu hadapan gereja itu apabila dipercayai diserang seorang lelaki dengan menggunakan topi keledar.

"Kedua-dua rahib itu cedera dan didapati tidak sedarkan diri ketika dijumpai dipintu hadapan gereja. Mereka datang dari rumah mereka ke gereja untuk bersembahyang, tetapi tidak sempat memasuki pintu gereja apabila diserang.

"Beg milik kedua-dua mereka didapati hilang. Beg itu mengandungi wang tunai dan telefon bimbit," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata pihak polis  mengambil keterangan daripada rahib yang berumur 79 tahun, manakala seorang lagi masih tidak sedarkan diri.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun mendatangkan keederaan.

[Baca berita penuh]