MT jawab isu 2:30 petang
7pm, JUM : Anggota-anggota Majlis Tertinggi akan menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh perwakilan esok pada sesi sebelah petang mulai jam 2:30 petang. Esok merupakan hari terakhir persidangan Umno ke-54 dan akan ditutup secara rasmi oleh Presiden, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Mesyuarat ditangguhkan jam 8:30 pagi esok
6:45pm, JUM : Persidangan agung Umno berakhir sekejap tadi dan akan disambung semula jam 8:30 pagi esok. Seramai 10 orang perwakilan, termasuk seorang pelajar dari Jepun, membahaskan pelbagai isu pada sesi petang tadi.
PAS sasaran 3 perwakilan
7:15pm, JUM : Beberapa perwakilan mengkritik PAS dari pelbagai penjuru. Wakil Kedah, Abdul Wahab Din, berkata PAS bergerak melalui imej luaran mereka - seperti berkupiah, berjubah dan berserban - tetapi parti itu tidak mengutamakan pengisian ilmu. Sebaliknya, Umno mengutamakan ilmu, katanya lagi.
Perwakilan Kelantan, Zaleha Hussin, berkata PAS adalah "parti dendam," "parti serpihan" dan "mereka yang jahil tentang Islam sahaja yang akan terpengaruh dengan PAS."
Sementara perwakilan dari Kepala Batas, Othman Desa, membidas parti pembangkang itu sebagai menyibuk dalam urusan dalaman Umno. "PAS dan Harakah jangan sibuk-sibuk kutuk kita (Umno), betulkan diri sendiri dulu," katanya.
Reformasi pembangkang tidak berjaya
7:10pm, JUM : Seorang perwakilan dari Kelab Umno Jepun, Hanita Ahmad, berkata reformasi yang digerakkan di kalangan pelajar tidak akan berjaya. "Selagi Kelab Umno berada di luar negara, reformasi tidak akan berjaya," katanya.
Sambil merujuk percubaan beberapa aktivis Parti KeADILan Nasional mengembangkan pengaruh reformasi di kalangan pelajar di Eropah minggu lalu, Hanita berkata "kami tidak akan terpengaruh."
Beliau juga berkata kerajaan tidak sukar mempengaruhi pelajar institut pengajian tinggi. "Yang penting, cukup makan, cukup pakaian, cukup wang," katanya.
Hanita mempersoalkan tarikh pelaksanaan kenaikan biasiswa 10 hingga 30 peratus seperti janji Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, ketika membentangkan Belanjawan 2000 pada Februari lalu.
2 kerusi wanita dalam MT
5:50pm, JUM : Perwakilan dari Perlis, Mastika Junaidah Hussin, meminta Umno mempertimbangkan sekurang-kurangnya dua kerusi untuk Wanita dalam Majlis Tertinggi.
Semalam, tidak ada calon wanita memenangi pertandingan MT.
Bagaimanapun, Presiden layak melantik 10 kerusi sebagai tambahan daripada 25 anggota majlis yang dipilih untuk sesi 2000-2003 semalam.
Umno dan 'budaya duit raya'
5:45pm, JUM : Perwakilan Wilayah Persekutuan, Syed Ali Syed Abas Al-Habsi, menceritakan 'budaya duit raya' yang menjadi sebahagian adat orang Melayu.
Katanya, orang Melayu sering mengeluarkan duit untuk acara agama - membaca doa dan menggali kubur - walaupun amalan ini tidak ada dalam ajaran Islam.
"Apakah 'budaya duit raya' ini ada dalam Umno?" tanya Syed Ali sebagai mengulas kegiatan politik wang yang semakin berleluasa menjelang pemilihan agung Umno.
PAS kuasai Petronas, Tabung Haji
5:35pm, JUM : Sementara seorang lagi perwakilan dari Pulau Pinang, Datuk Mohd Zin Omar, mendakwa beberapa agensi kerajaan dikuasai oleh penyokong PAS.
Beliau menyebutkan contoh Lembaga Urusan dan Tabung Haji serta Petronas. "PAS control semua privatisation (projek penswastaan) yang kita (Umno) wujudkan," katanya.
Tahniah KDN sekat 'Harakah'
5:30pm, JUM : Seorang perwakilan dari Tanjung Karang, Noh Omar, mengucapkan tahniah kepada Kementerian Dalam Negeri kerana berani mengambil tindakan terhadap akhbar PAS, Harakah . "Jika Harakah terus menyebarkan fitnah, haramkan Harakah," katanya.
Sidang bersambung, audio rosak
3:25pm, JUM : Persidangan Umno sesi petang baru sahaja bermula kira-kira jam 3:15 petang. Audio sistem televisyen di bilik wartawan di aras dua bangunan PWTC, tempat persidangan, rosak sekejap. Sistem audio itu kini pulih.
Sidang sambung jam 3
12:30pm, JUM : Persidangan Umno bagi hari kedua akan bersambung semula jam 3 petang selepas rehat untuk sembahyang Jumaat. Seramai tiga orang perwakilan - Perlis, Kedah dan Kelantan - membahaskan ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pagi ini.
Pakatan PAS-DAP 'mimpi ngeri' Mahathir
11am, JUM : Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berasa takut melihat kerjasama antara dua parti pembangkang utama, PAS dan DAP.
Beliau mengalami 'mimpi ngeri' apabila kerjasama itu semakin erat, kata ahli jawatankuasa PAS, Dr Hatta Ramli.
Sementara ucapan Mahathir dalam persidangan Umno pagi semalam dianggap sebagai 'fitnah' oleh Pengerusi DAP Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew.
