Kekecohan tercetus di perjumpaan Kidex
Perjumpaan yang diadakan oleh Kidex Sdn Bhd untuk menerangkan mengenai projek lebuhraya Kinrara-Damansara Skyway kepada penduduk terbabit, menyaksikan mereka bertekak kerana kedua-dua pihak tidak bersetuju mengenai tujuan mereka berkumpul.
Hadirin tidak mahu ia dianggap sebagai 'town hall meeting' tetapi penganjur perjumpaan itu - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Kidex - tidak bersetuju.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kidex yang baru dilantik, Mohd Nor Idrus berkata jika mereka tidak menganggapnya sebagai 'town hall meeting' maka "kita boleh mengadakannya pada masa yang lain".
Hadirin tetap berkeras dan mereka bergilir-gilir menjerit kepada CEO dan pegawai MBPJ yang merayu kepada mereka supaya bertenang.
Mereka yang membantah itu, termasuklah MP Subang, R Sivarasa, berkata penduduk terbabit tidak diberikan notis yang sewajarnya untuk menjadikan perjumpaan tersebut sebagai 'town hall meeting'.
Walaupun 650,000 penduduk Petaling Jaya dijangka terjejas dengan pembinaan lebuh raya sepanjang 14.9km yang merentas estet lama Petaling Jaya itu, tetapi hanya kira-kira 500 yang dapat hadir, kerana hanya diberi notis singkat dua hari.
Mereka yang datang malam tadi terdiri daripada orang muda dan telah berusia,
pemilik perniagaan dan malah ada yang datang dengan berkerusi roda dan bertongkat, mencerminkan kepelbagaian di kawasan warisan yang akan direntas lebuh raya tersebut.
Ramai yang datang untuk mendapatkan jawapan kerana mereka berkata Kidex tidak menjalankan penilaian sosial dan alam sekitar yang sewajarnya, sebelum mahu melaksanakan projek yang menurut mereka, tidak perlu di kawasan terbabit.
Mereka tidak mahu perjumpaan itu diteruskan jika ia bermakna Kidex hanya mahu menerangkan mengenai usul tersebut bagi mendapat kelulusan bagi projek tersebut.
Selain ADUN-ADUN dan kumpulan kejiranan yang memandang berat
perkara itu, terdapat semakin banyak desakan yang mahu projek RM2 bilion itu dibatalkan.
Kidex enggan berbuat demikian tanpa diberi peluang untuk menjelaskan apa yang telah dilakukannya sejak 2011.
Sebagai alternatif kepada LDP, lebuhraya Kidex itu yang dijadual siap menjelang 2018, adalah untuk membantu mengurangkan kesesakan lalulintas di PJ, sekurang-kurangnya 30 peratus, dakwa syarikat tersebut.
Tetapi penduduknya dengan keras membantah pelaksanaan projek tersebut.
Mereka berkata projek itu akan memusnahkan alam sekitar,
menyebabkan harga hartanah merudum dan bukan satu penyelesaian yang bijak kepada masalah lalulintas.
Apa mereka kesalkan ialah apabila pegawai Kidex menjelaskan bahawa mereka hanya menjalankan tugas.
Hadirin mendakwa syarikat itu tidak langsung menunjukkan sebarang tanggungjawab sosial korporat.

