Najib hadir persandingan anak Ahmad Said
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri majlis persandingan anak bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said di kediamannya di Teluk Kalong di sini hari ini.
Turut memeriahkan majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.
Majlis itu diadakan untuk meraikan perkahwinan anak perempuan Ahmad, Nor Ashahirah, 27, dengan pasangannya Mohd Syahirpaul Redzuan Musa, 28, yang selamat diijabkabul pada 9 Mei lepas.
Lebih 10,000 tetamu termasuk para kenamaan hadir ke majlis persandingan tersebut yang bermula pada jam 10 pagi.
Khamis lepas, perdana menteri menyatakan hasrat beliau untuk hadir ke majlis persandingan anak kedua Ahmad sebelum berlepas ke Emiriah Arab Bersatu untuk melakukan lawatan rasmi tiga hari atas jemputan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan.
Sementara itu, Nor Ashahirah, anak perempuan Ahmad Said dan pasangannya, Mohd Syahirpaul Redzuan Musa, 28, terharu dengan sambutan lebih 10,000 tetamu yang hadir di majlis persandingan mereka.
Walaupun bapanya tidak lagi bergelar menteri besar selain diselubungi dengan kontroversi yang berlaku, namun orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat masih hadir meraikan pasangan mempelai itu.
Perasaan itu lebih memuncak dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pasangan mempelai itu, ketika ditemui Bernama, melahirkan rasa syukur selepas majlis persandingan mereka berjalan lancar biarpun berdepan konflik politik yang membabitkan bapanya.
Nor Ashahirah, 27, yang merupakan anak kedua kepada Ahmad berkata konflik yang tercetus itu sedikit pun tidak merencatkan majlis mereka.
Beliau mengakui agak terkejut dengan konflik yang tercetus itu ketika majlis persandingannya yang akan berlangsung kurang dari seminggu.
Menurutnya, itu adalah adat resam yang perlu dilalui dan diterima dengan tenang.
"Alhamdulillah majlis dah selesai dan bersyukur majlis yang berlangsung di kediaman kami di Telok Kalong di sini selesai dan meriah dengan kehadiran sanak-saudara dan tetamu termasuk perdana menteri.
"Walaupun perdana menteri padat dengan urusan sebagai pemimpin tertinggi namun masih meluangkan masa menghadiri hari berbahagia kami dan kami tak mahu ingat lagi benda yang sudah berlalu," katanya.
Beliau berkata: "Banyak perkara yang perlu kami pelajari dalam kehidupan berumahtangga ini dan sebaiknya kami mahu hari-hari seterusnya dijalani dengan rasa kegembiraan."
Katanya saat inilah yang dinantikan oleh mereka sekeluarga dengan status bapanya kini yang bukan lagi menteri besar supaya dapat meluangkan masa lebih banyak bersama bapanya itu.
"Hampir 23 tahun saya menunggu detik ini dan kini saya harap ayah saya mempuyai lebih banyak masa bersama keluarga selepas menceburi bidang politik sejak berusia 19 tahun," katanya.
Nor Ashahirah berkata, dengan kemelut dan kontroversi yang melanda bapanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal, beliau dan adik beradiknya yang lain turut merancang untuk membawa bapa serta ibu mereka untuk melancong ke luar negara.
Pada hari ini, lebih 10,000 tetamu termasuk para kenamaan hadir ke majlis persandingan tersebut yang bermula pada jam 10 pagi.
Nor Ashahirah dan pasangannya selamat diijabkabul pada 9 Mei lepas.
Majlis persandingan di Teluk Kalong itu adalah majlis yang kedua diadakan selepas majlis pertama di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu pada 10 Mei lalu, yang turut menyaksikan keberangkatan tiba Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
- Bernama

