Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JAKOA: RM4.5 juta untuk latih belia Orang Asli

Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) memperuntukkan RM4.5 juta bagi melaksanakan program latihan dan kemahiran kerjaya (PLKK) melibatkan 400 belia Orang Asli, tahun ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Sani Mistam berkata sejak dimulakan pada 2011, sebanyak 1,300 pelatih menyertainya dengan peserta yang tamat latihan dijamin mendapat pekerjaan melalui kerjasama dengan syarikat industri.

"Sehingga kini, 80 peratus daripada pelatih ini berjaya mendapat pekerjaan setelah tamat kursus selama setahun manakala baki 20 peratus pula melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

"Melalui PLKK, mereka akan mengikuti program latihan dengan segala perbelanjaan makan minum, penginapan dan elaun ditanggung kerajaan sepenuhnya. Maklum balas kita terima, program ini mendapat sambutan hebat daripada Orang Asli," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan majlis Penyerahan Sijil Film Batch daripada Agensi Nuklear Malaysia (MNA) kepada 10 pelatih pertama Orang Asli yang menjalani kursus Kajian Tanpa Musnah di Kuala Terengganu hari ini.

Mohd Sani berkata jabatan juga akan menambah beberapa kursus baru sebagai tambahan kepada 35 kursus PLKK sedia ada.

"Antaranya yang sedang dipertimbangkan ialah kursus sebagai kedi golf profesional dan pengawal keselamatan yang bersenjata kerana kedua-dua bidang itu masih mempunyai banyak kekosongan.

"JAKOA sentiasa melakukan kajian bagi melihat prospek pekerjaan yang berdaya saing dan inovatif untuk diceburi," katanya.

Antara 35 kursus PLKK sedia ada ialah jurudandan rambut, pelukis pelan, konduktor ladang dan pekerja pelabuhan.

Program ini bertujuan untuk menyediakan bantuan kewangan dan pengurusan bagi membolehkan kumpulam sasar iaitu belia-belia Orang Asli mengikuti kursus latihan jangka pendek, sederhana dan panjang termasuk kemahiran asas Majlis Latihan Vokasional Malaysia iaitu Sijil Kemahiran Malaysia SKM 1 dan SKM 2.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS