MH370 inspirasi filem ke Cannes
Episod kehilangan pesawat Malaysia Airlines memberi inspirasi kepada pengeluar filem untuk menghasilkan filem berhubung misteri yang menyelubungi tragedi itu.
Filem itu sedang dipromosikan kepada pembeli di Festival Filem Cannes di Perancis, hampir dua bulan selepas pesawat itu hilang bersama dengan 239 penumpang termasuk 12 anak kapal, demikian lapor agensi berita Perancis, AFP.
Agensi berita itu berkata pratonton filem itu akan diadakan bagi pembeli yang berpotensi bagi filem "A Dark Reflection" oleh Fact Not Fictions Films untuk ditayangkan hari ini berikutan "Vanishing Act", dipromosikan oleh pengarah filem India Rupesh Paul yang dipersembahkan kepada pembeli pada Sabtu.
Penerbangan MH370 ke Beijing, hilang daripada pengesanan radar setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac, ketika terbang di ruang udara laut China selatan.
Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat Boeing 777-200 itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudiannya diperluaskan ke Selat Melaka dan Laut Andaman sebelum pasukan mencari mengubah perhatian ke perairan di Australia Barat di selatan Lautan Hindi, separuh perjalanan ke Antartika.
Festival Filem Cannes ke-67 diadakan mulai 14 hingga 25 Mei.
Menurut laporan itu, Paul memulakan penggambaran filem itu selepas dihubungi seorang wartawan Malaysia yang berkongsi teori berhubung insiden itu, dan menghabiskan 20 hari menyiapkan lakon layar berdasarkan idea wartawan terbabit untuk bahagian terakhir filem itu.
Pembeli juga dipersembahkan dengan treler yang menarik perhatian selama 90 saat bagi filem itu.
Bagaimanapun, laporan itu berkata adalah tidak diketahui sama ada tayangan "A Dark Reflection" dibuat filem secara sepenuhnya atau separuh siap, atau treler yang lain.
Selain tuan rumah festival filem terbesar di dunia, Cannes yang merupakan pasaran filem terbesar dan menarik lebih 10,000 pembeli dan penjual dari seluruh dunia setiap tahun.
-Bernama

