Calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud mengakui pengalaman dan keperibadian calon BN Datuk Mah Siew Keong memberi cabaran hebat kepadanya bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Teluk Intan.

PRK itu menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara Dyana Sofya ( kiri ), 27, peguam lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Presiden Gerakan, Mah, 53.

"Saya sebagai anak muda yang bertanding melawan seorang yang berpengalaman dan sangat dihormati di Teluk Intan, merupakan cabaran yang harus saya sambut," katanya.

Beliau dipetik sebagai berkata demikian oleh Bernama ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon Teluk Intan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak di Teluk Intan hari ini.

Bekas setiausaha politik kepada anggota Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang itu diiringi ibu bapanya Mohd Daud Ismail dan Yammy Samat di pusat penamaan calon itu.

Turut serta Lim yang juga penasihat DAP, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.