Yang Dipertua PP: Berhemah dalam DUN
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas mengingatkan Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang supaya berhemah dan mempunyai tatasusila yang baik sepanjang persidangan Dewan Undangan Negeri berlangsung.
Beliau turut meminta semua wakil rakyat supaya hadir pada setiap sesi persidangan serta memastikan perjalanan mesyuarat lancar dan mengikut peraturan persidangan.
"Saya berharap Dewan Undangan Negeri (DUN) ini akan berfungsi dengan baik dan sempurna," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri di George Town hari ini.
Dalam ucapannya Abdul Rahman turut melahirkan rasa sedih terhadap kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 dan menyampaikan ucapan takziah kepada anggota keluarga yang terlibat.
Beliau berharap misi pencarian pesawat itu berakhir dengan jayanya dan berterima kasih kepada semua negara asing yang turut membantu dalam operasi mencari.
Sementara itu, Abdul Rahman menggesa kerajaan negeri supaya memberi tumpuan kepada program-program yang mampu membawa kesan terhadap peningkatan kualiti hasil, produktiviti ladang dan bantuan teknologi untuk menjadikan pengurusan sektor pertanian lebih efisien.
Beliau berkata projek Zon Industri Akuakultur (ZIA) di Penaga, Seberang Perai Utara dengan keluasan 277.6 hektar yang dibangunkan kerajaan negeri berupaya meningkatkan pengeluaran akuakultur selain menjadi kawasan tarikan agropelancongan baharu di negeri ini.
Kerajaan negeri juga membangunkan projek itu di kawasan lain seperti di Balik Pulau, dekat George Town seluas 240 hektar dan di Sungai Chenaam, Seberang Perai Selatan seluas 100 hektar, katanya.
"Saya percaya sekiranya projek-projek ini dapat direalisasikan, jumlah pengeluaran akuakultur sebanyak 48,240 tan metrik yang bernilai RM964.80 juta setahun akan tercapai," katanya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata kerajaan negeri sedang berusaha melaksanakan satu sistem jaringan trem dan sistem jaringan transit aliran ringan (LRT) bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini.
"Kerajaan negeri masih menunggu maklum balas ke atas permohonan supaya Kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa lesen pengendalian kepada kerajaan negeri bagi sistem pengangkutan trem, LRT atau pengangkutan awam bersama pihak swasta," katanya.
Menyentuh mengenai musim kemarau akibat fenomena El Nino, Abdul Rahman mengingatkan rakyat di negeri ini supaya berhemat dalam penggunaan air bagi menghadapi musim kemarau tanpa perlu dilaksanakan catuan air.
- Bernama

