Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Dr M: DAP letak calon Melayu 'hiasan luaran' saja

Bernama

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Tindakan DAP meletakkan calon Melayu pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan merupakan tindakan 'hiasan luaran' parti itu bagi mengaburi mata orang Melayu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

    

Beliau berkata tidak mustahil ramai orang Melayu akan menyokong calon DAP itu kerana sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu mudah tertipu dengan tindakan seperti itu.

    

"Tindakan itu hanya hiasan luaran sahaja tiada harapan apa-apa (diletakkan kepada calon itu), kalau dia (calon itu) menang dia menanglah," katanya ketika ditemui pemberita di Melaka hari ini.

    

Terdahulu, beliau berucap pada program Chancellor's Talk di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Ahmad Yusoff Hassan.

    

PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan DAP meletakkan Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calonnya menentang calon Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong.

    

Dr Mahathir turut meluahkan kekecewaan apabila calon yang diletakkan DAP itu datang daripada keluarga yang menyokong perjuangan Umno sejak sekian lama.

    

"Kalau datang daripada keluarga pembangkang, tak jadi apa, pasal sejak kecil diajar benci Umno...kalau anak orang Umno, depa tak cakap kat anak depa pasal apa Umno ni ada sejarah Umno semua, jadi bila dia besar dia bebaslah nak buat apa sahaja," katanya.

    

-Bernama