Calon BN Datuk Mah Siew Keong menafikan dakwaan DAP bahawa beliau akan mengangkat sumpah sebagai senator sekiranya tewas dalam pilihan raya kecil Teluk Intan.

"Adakah anda fikir saya mempunyai peluang (menjadi senator) jika saya kalah?" soalnya kembali ketika tinjauan mesra di sebuah pasar di kawasan itu pagi tadi.

Dalam sebuah ceramah semalam, beberapa pemimpin DAP menuduh Mah akan menggunakan "pintu belakang" untuk menjadi senator jika tewas kepada calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud ( gambar sebelah, kanan sekali ) pada pengundian 31 Mei ini.

Mah, presiden Gerakan, akan berdepan dengan Dyana, calon muda 27 tahun DAP, dalam pertembungan satu lawan satu.

Berdasarkan rekod, Mah pernah menguasai kerusi Teluk Intan itu dari tahun 1999 hingga 2008.

Bagaimanapun, Mah gagal mempertahankan kedudukannya dalam dua pilihan raya umum apabila dikalahkan calon DAP M Manogaran pada 2008 dan mendiang Seah Leong Peng pada pilihan raya umum lalu.


Ikuti perkembangan kempen di blog Teluk Intan