Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Mohammad Mentek meminta pengamal media supaya melaporkan sebarang berita atau isu berkenaan ESSCom secara tepat dan jelas.

Mohammad berkata laporan seperti itu perlu bagi mengelak kekeliruan masyarakat berhubung ESSCom dan peranannya, sehingga boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi berkenaan.

"Media memang memainkan peranan penting dalam menjelaskan fungsi ESSCom. Setakat ini saya amat berpuas hati dengan laporan semua pengamal media mengenai ESSCom. Terima kasih kerana terus memberi kerjasama dengan ESSCom," katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama pengamal media di Kota Kinabalu malam tadi.

Menurut Mohammad kerjasama baik yang diberikan pengamal media kepada ESSCom selama ini banyak membantu agensi itu menjelaskan kepada masyarakat tentang struktur dan peranan ESSCom dalam memastikan 10 daerah di bawah Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) selamat daripada sebarang ancaman keselamatan.

Mohammad berharap kerjasama pengamal media dan pihak ESSCom dapat dierat dan dikukuhkan lagi pada masa depan demi kebaikan semua pihak.

Mengenai program mendekati masyarakat di peringkat akar umbi, Mohammad berkata proses berkenaan terus berjalan dengan pegawai-pegawai kanan ESSCom akan turun padang menemui masyarakat pelbagai etnik bagi menjelaskan kedudukan ESSCom serta pelbagai isu keselamatan.

Katanya program berkenaan dilaksanakan ESSCom bagi menjelaskan kepada seluruh lapisan masyarakat mengenai peranan yang mereka boleh mainkan untuk bersama-sama ESSCom dan agensi keselamatan serta penguat kuasa lain dalam melindungi ESSZone daripada sebarang ancaman.

- Bernama