Belum ada penyelesaian kemelut politik Thailand
Keceriaan menyelubungi mesyuarat pertama pelbagai kumpulan yang terbabit dalam kemelut politik Thailand sejak pengisytiharan undang-undang tentera di seluruh negara.
Namun, belum nampak sebarang petunjuk kepada penyelesaian konflik di kalangan mereka kerana setiap kumpulan terbabit mempunyai pendekatan berbeza untuk menyelesaikannya.
Tetapi kesan positif daripada mesyuarat itu ialah buat pertama kalinya mereka dapat mendengar pandangan dan pendapat satu sama lain dalam keadaan mesra.
Tujuh kumpulan diundang menghadiri mesyuarat itu termasuk kerajaan sementara yang diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan, Pongthep Thepkarnchana; pengerusi Barisan Bersatu untuk Demokrasi Menentang Diktator (UDD) yang prokerajaan, Jatuporn Prompan; dan setiausaha agung Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC) yang antikerajaan, Suthep Thaugsuban.
Parti Pheu Thai yang memerintah dan pemimpin Parti Demokrat, Abhisit Vejjajiva; pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) Supachai Somcharoen dan pemangku Speaker Senat Surachai Liangboonlertchai juga antara mereka menghadiri mesyuarat itu.
Jurucakap Tentera, Kol Wintai Suwaree berkata mesyuarat itu yang dipengerusikan Panglima Tentera, Jen Prayuth Chan O-cha, berlangsung dalam suasana mesra.
Prayuth juga merupakan Ketua Markas Perintah Pemeliharaan Keamanan dan Ketenteraman (POMC) yang baru ditubuhkan berikutan pengisytiharan undang-undang tentera di seluruh negara semalam.
"Hari ini, Jen Prayuth mendengar pandangan semua pihak pada mesyuarat itu. Mereka menzahirkan pandangan dan cadangan (penyelesaian terhadap konflik Thailand).
"Jen Prayuth tidak mencadangkan atau membantah apa-apa pun semasa mesyuarat itu," kata Wintai pada sidang media di Kelab Tentera, tempat mesyuarat itu dan pangkalan bagi POMC di sini.
Beliau bekata semua pihak akan kembali menghadiri satu lagi mesyuarat esok dan beliau menjangka beberapa kemajuan bakal dicapai.
- Bernama

