Zunar terbit buku persenda kes Liwat II
Kartunis terkenal Zunar menerbitkan sebuah buku kartun baru yang mempersenda perjalanan kes pertuduhan liwat kedua terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana ketua pembangkang itu disabitkan bersalah.
Berjudul Komplot penjarakan Anwar - Najib jatuh hukum, hakim ikut skrip , buku itu memuatkan 50 kartun baru berserta keterangan dan fakta apa yang disifatkannya sebagai “perancangan kotor” BN dan “fitnah” kerajaan.
“Melalui buku ini, saya mendedahkan peranan tokoh-tokoh politik, hakim-hakim, pelakon-pelakon yang berlakon menjadi mangsa dan tipu helah mereka,” kata Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar SM Ulhaque.
Dalam kenyataannya semalam, Zunar berkata, buku dalam dua versi – Melayu dan Inggeris – itu hanya akan dijual dengan harga murah RM10 agar ramai mampu memilikinya.
Ia akan dilancarkan oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, aktivis Datuk Ambiga Sreenevasan dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said pada 23 Mei di Kuala Lumpur.
Mendakwa terdapat tekanan pihak berkuasa, Zunar berkata buku yang akan berada dalam pasaran tidak lama lagi itu tidak dapat dijual di kedai-kedai buku dan hanya boleh dibeli secara atas talian .
Dalam berkarya, Zunar pernah berdepan pelbagai cabaran, termasuk ditahan bawah Akta Hasutan dan tujuh bukunya sebelum ini diharamkan kerajaan.

