NGO gesa k'jaan tekankan isu pentauliahan agama
Sehari selepas mahkamah membebaskan bekas mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin daripada tuduhan mengajar tanpa tauliah, sebuah NGO tampil menggesa kerajaan memberi penekanan kepada sistem itu.
Pertubuhan Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) berkata, penekanan kepada sistem untuk agamawan mengajar di masjid itu penting bagi memastikan aliran ilmu yang diajar selaras dengan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah.
“Pentauliahan juga penting bagi memastikan mereka yang menyampaikan kuliah di masjid benar-benar mahir dengan ilmu yang disampaikannya serta mengajar dalam disiplin ilmu dipelajarinya,” kata Presiden ASWAJA Zamihan Mat Zin ( kanan ).
Mahkamah Syariah daerah Gombak kelmarin membebaskan Dr Asri daripada tuduhan mengajar tanpa tauliah di Selangor pada tahun 2009 selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap tertuduh.
Mengulas pembebasannya, Asri ( bawah ) berkata, tauliah hanya ada keperluannya kalau seseorang pengajar itu tiada latar belakang agama.
Dalam kenyataannya semalam, Zamihan berkata, beliau menyambut baik usaha Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengembalikan kegemilangan Sunnah di negara ini.
Katanya, Keputusan itu tepat ketika umat Islam berdepan pelbagai fahaman yang boleh menggugat dan mencelarukan pegangan, termasuk syiah, wahabi, liberalisme serta pluralisme.
“ASWAJA berharap penegasan terhadap Ahli Sunnah wal Jamaah seharusnya diberi penekanan serta perhatian serius oleh kerajaan supaya demi menjamin kelangsungan Malaysia sebagai pusat Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebelum ini menjadi pegangan ulama terkemuka,” katanya.

