Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membentangkan usul tergempar mengutuk sekumpulan “perusuh” dan “samseng” yang memecah masuk ke tempat persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Dalam usul membahaskan perkara itu, Lim mencadangkan DUN mengutuk sekeras-keranya Umno Pulau Pinang kerana tidak bertanggungjawab kerana mendorong kumpulan itu “menghina kemuliaan dewan”.

Justeru, katanya, bagi membuktikan Umno bukanlah perosak bangsa, ketua pembangkang negeri Datuk Jahara Hamid patut memohon maaf kepada dewan.

Ketika membentangkan usul itu pagi tadi, Lim berkata, DUN kesal dengan insiden gelap itu yang mencemarkan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan di Pulau Pinang dan Malaysia.

Semalam, sekumpulan individu berhimpun di depan DUN sebelum sebahagian mereka memasuki dewan dan cuba memanjang meja speaker.

Perhimpunan itu diadakan bagi menyatakan kemarahan terhadap ADUN DAP RSN Rayer kerana menggelar pemimpin Umno dan pihak yang hadir dalam perhimpunan kontroversi bagi mengutuk flash mob kangkung sebelum ini sebagai celaka.

Usul itu juga menyebut, DUN Pulau Pinang mengarahkan ketua polis negeri dan pihak berkuasa keselamatan mengambil alih kerja keselamatan di luar dan dalam perkarangan DUN, tertakluk kepada arahan speaker.

Beliau juga menuntut “kumpulan samseng Umno” itu dibawa ke mahkamah supaya kemuliaan DUN dapat ditegakkan.

Usul itu juga menyebut tentang penubuhan jawatankuasa khas, yang turut disertai ketua pembangkang, untuk mengeluarkan laporan khas ekoran insiden itu.

[Baca berita penuh]