Perang mulut di luar DUN, seorang ditahan
Polis tahan Polis menahan seorang pemuda yang terlibat dalam perang mulut dengan sekumpulan penyokong Umno di hadapan bangunan DUN Pulau Pinang.
Pemuda tersebut, yang memakai baju dengan lambang sebuah NGO, tiba-tiba muncul di tengah-tengah kumpulan tersebut pada kira-kira jam 11.20.
Perang mulut kemudiannya tercetus selepas kumpulan 40 orang penyokong Umno tersebut mengerumuni pemuda berkenaan dalam kejadian itu.
Tindakan pantas anggota polis yang menahan pemuda terbabit bagaimanapun berjaya menghalang kejadian yang berlaku selama kira-kira 10 minit itu menjadi lebih buruk.
Malaysiakini difahamkan, pemuda tersebut dibawa ke Balai Polis Lebuh Pantai.
Sementara itu, seorang anggota exco Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifah memberitahu, lelaki berkenaan cuba memprovokasi mereka yang berhimpun secara aman.
"Dia cuba provokasi tapi kami bagi kerjasama kepada polis," katanya secara ringkas kepada wartawan.
Kumpulan penyokong Umno itu meneruskan perhimpunan mereka di luar bangunan DUN hari ini untuk menuntut ADUN Seri Delima DSN Rayer meminta maaf kerana mengucapkan "Umno celaka" di dalam sidang Dewan, Selasa lalu.
Kira-kira sejam kemudian, sekumpulan ADUN Umno diketuai ketua pembangkang Datuk Jahara Abdul Hamid keluar untuk bertemu kumpulan penyokong parti tersebut.
Dalam pertemuan selama 15 minit Jahara berkata beliau menyokong tindakan kumpulan itu dan akan membentangkan usul khas mendesak agar Rayer meminta maaf atas kenyataan beliau.
"Umno bukan samseng. Kita tak boleh terima dan mahu Rayer minta maaf," kata beliau.
Kumpulan penyokong Umno itu turut ditegur oleh ADUN Sg Acheh, Datuk Mahmud Zakaria yang mahu kumpulan tersebut menghormati peraturan walaupun beliau menyokong tuntutan mereka.
"Perjuangan anda saya sokong cuma peraturan kena ikut. Saya tetap pertahankan tindakan anda.
"Saya cakap kepada exco Pulau Pinang (Datuk) Malek (Kassim) dulu beliau juga sama pertahankan Umno sewaktu menjadi Ketua Pemuda Umno.
"Kami orang parti mana boleh orang calarkan (imej) parti kami," tegas beliau disambut kumpulan pemuda itu.
Mahmud merujuk kepada tindakan sekumpulan penyokong Umno yang bertindak liar dengan memasuki Dewan dan cuba memanjat meja speaker.
Kekecohan itu menyebabkan sepasukan hampir 50 polis termasuk pasukan tindakan ringan (LSF) dan berpakaian preman menjaga keselamatan DUN.

