Peluang M'sia cerah kerusi wakil tak tetap UNSC
Peluang Malaysia menduduki kerusi wakil tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) bagi sesi 2015-2016, cerah dengan lebih 130 negara sudah menyatakan sokongan mereka.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata secara tidak rasmi, banyak negara sudah menyatakan sokongan mereka secara "lisan" dengan pencalonan Malaysia.
Bagaimanapun hari pengundian hanya akan diadakan pada September depan, iaitu selepas Mesyuarat Agung PBB yang dijangka dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya.
Beliau berkata kerusi wakil tidak tetap Majlis Keselamatan PBB begitu signifikan kepada Malaysia sebagai usaha berterusan negara, yang aktif pada peringkat antarabangsa sejak pertama kali menyertainya iaitu pada penggal 1965.
"Kita memerlukan sekurang-kurangnya dua pertiga pencalonan daripada 193 negara anggota PBB, dan sehingga kini, Alhamdulillah daripada apa yang dilihat, banyak sokongan sudah diterima," kata Anifah dalam sidang akhbar selepas menghadiri dua majlis sempena lawatannya di New York pada Rabu.
Persidangan akhbar itu turut dihadiri Wakil Tetap Malaysia di PBB Datuk Hussein Hanif dan Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Pelbagai Hala) Datuk Ho May Yong.
Anifah berkata, Malaysia sangat optimis mendapat lebih banyak lagi sokongan apabila menerima reaksi sangat baik dan positif daripada negara anggota yang telah ditemui bagi mendapatkan sokongan untuk menduduki kerusi berkenaan.
Pencalonan Malaysia dipermudahkan dengan adanya sokongan daripada Kumpulan Asia Pasifik sejak awal tahun ini dan setakat ini, Malaysia adalah calon tunggal dari Asia yang bertanding bagi kerusi itu, katanya
Turut memberikan sokongan adalah kumpulan serantau PBB lain termasuk Kumpulan Afrika, Kumpulan Eropah Timur, Negara-negara Amerika Latin dan Caribbean (GRULAC), Kumpulan Eropah Timur dan Kumpulan Lain (WEOG).
Ini merupakan pemilihan kali keempat bagi Malaysia jika berjaya, sebelum ini Malaysia telah menduduki kerusi berkenaan sebanyak tiga kali iaitu pada 1965, 1989/1990 dan 1999/2000.
Pada Rabu, Anifah mengambil bahagian dalam mesyuarat peringkat tinggi Perhimpunan Agung PBB berhubung sumbangan daripada negara Utara-Selatan, Selatan-Selatan, Kerjasama Segitiga dan Pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) bagi Pembangunan untuk Pelaksanaan Agenda Pembangunan Pasca 2015.
Dalam mesyuarat itu, Anifah berkata, pertambahan jumlah negara membangun muncul sebagai kuasa baharu ekonomi, perubahan dalam landskap bagi kerjasama pembangunan adalah dijangkakan dan perbincangan berhubung sumbangan negara Utara-Selatan, Selatan-Selatan dan Kerjasama Segitiga untuk pelaksanaan agenda pembangunan pasca 2015 adalah tepat pada masanya.
"Malaysia mengiktiraf bahawa negara-negara membangun mempunyai tanggungjawab penting dalam menggalakkan dan menjalin kerjasama ekonomi dan teknikal sesama mereka dan juga mengalu-alukan peluang bekerjasama dengan negara-negara maju dan agensi-agensi pembangunan pelbagai hala yang memerlukan bantuan teknikal untuk melaksanakan sasaran pembangunan mereka pasca 2015," katanya.
Katanya Malaysia juga yakin pencapaian agenda pembangunan pasca 2015 boleh dipermudahkan menerusi pengukuhan kerjasama pembangunan global Utara-Selatan, Selatan-Selatan, Kerjasama Segitiga dan ICT bagi pembangunan selagi adanya komitmen politik peringkat tinggi.
Anifah kemudiannya menyampaikan ucapan pembukaan pada panel perbincangan bagi memperkukuh Operasi Pengaman PBB di pejabat Wakil Tetap Malaysia di PBB yang bertujuan untuk mewujudkan kesedaran terhadap aspek pelbagai dimensi operasi pengaman PBB.
Ahli panel terdiri daripada Setiausaha Bahagian PBB bagi Sokongan Lapangan Ameerah Haq, Ketua Bahagian Dasar, Penilaian dan Latihan Jabatan Operasi Pengaman (DPKO)/Jabatan Sokongan Lapangan (DFS) David Haeri, Ketua Staf Pengaman PBB Brigadier Ahamed Mohammed dan dari Malaysia ialah Mejar Jeneral Datuk Rahim Yusoff daripada Kementerian Pertahanan manakala Ketua Dasar dan Perkhidmatan Amalan Terbaik DPKO/DFS PBB Leanne Smith bertindak sebagai moderator.
Sementara itu, dalam ucapannya di majlis itu, Anifah berkata sejak 1960, Malaysia telah menyertai lebih 30 operasi pengaman dan menyumbang lebih 29,000 anggota pengaman untuk usaha misi pengaman.
"Kini terdapat 932 anggota tentera dan polis Malaysia sedang berkhidmat dalam pelbagai kapasiti dalam tujuh misi PBB. Mereka ditugaskan di Lebanon, Darfur, selatan Sudan, Abyei, Liberia, Republik Demokratik Congo dan barat Sahara," katanya.
Pada Khamis, Anifah akan menghoskan majlis sambutan di ibu pejabat PBB di New York dan merasmikan pameran foto tentang Penglibatan Malaysia di PBB.
Pada Jumaat beliau akan mengunjungi Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon dan juga presiden sesi ke-68 Perhimpunan Agung PBB John Ashe untuk bertukar-tukar pandangan berhubung perkara kepentingan bersama.
- Bernama

