Polis hari ini menafikan dakwaan pembangkang kononnya jenayah di Teluk Intan merupakan isu yang serius dan merunsingkan pengundi di kawasan parlimen itu.

    

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Goh Kok Liang menegaskan kadar jenayah dan keselamatan di Teluk Intan adalah terkawal.

    

Katanya berdasarkan statistik, sejak Januari lepas hingga semalam, hanya sejumlah 150 kes dilaporkan yang secara purata hanya satu kes jenayah berlaku di Teluk Intan dalam sehari.

    

Beliau menasihati penduduk di parlimen itu agar tidak mempercayai dakwaan itu dan menyebarkan maklumat yang tidak sahih tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pihak polis.

    

"Dakwaan sedemikian adalah orang tempatan semata-mata," katanya kepada  pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, sebagai mengulas dakwaan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud.

Goh juga berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kes ugutan bunuh terhadap seorang anggota parti politik ketika sedang melakukan kerja-kerja kempen di sebuah bilik gerakan.

    

Pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong dan Dyana Sofya.

    

Ia diadakan berikutan kematian  penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.

    

-Bernama