Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memutuskan untuk menangguhkan keputusannya untuk menutup Sekolah Bina Insan (SBI) sehinggalah pelajar sedia ada menamatkan pengajian mereka.

Sebelum ini, MAS membuat keputusan untuk menutup operasi SBI kerana kekangan kewangan dan perancangan perniagaan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) untuk menambah pelajar KUIS kepada 10,000.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausahanya, Datuk Bakhtiar Hussin berkata keputusan penangguhan itu dibuat selepas memperhalusi dan meneliti semua isu dan cadangan yang dikemukakan.

"MAIS menangguhkan penutupan SBI sehingga pelajar sedia ada menamatkan pengajian di SBI," katanya.

MAIS juga, tambahnya, terbuka kepada sebarang cadangan daripada ibu bapa untuk kebaikan semua pihak, termasukk cadangan menempatkan SBI di tempat lain.

Semalam, Exco Pemuda Umno Malaysia, Mohd Rafiq Naizamohideen dilaporkan menggesa kerajaan Selangor menyelesaikan segera isu penutupan SBI di bawah pengurusan MAIS.  

 

Beliau berharap Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai pengerusi lembaga pengarah KUIS, dapat menyelesaikan isu SBI yang kini beroperasi sementara di KUIS.