Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev menjadikan Malaysia antara negara contoh dalam perancangan pembangunan negara itu, kata Datuk Seri Najib Razak.
 
Perdana menteri berkata perkara itu dinyatakan sendiri Nazarbayev kepadanya dalam perbincangan empat mata di Istana Presiden, Akorda di Astana pada Jumaat, lapor Bernama .
 
"Dalam pertemuan saya dengan Nazarbayev, dalam mukadimah perbualan antara kami berdua, Presiden Nazarbayev telah menyatakan  bahawa beliau menganggap Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang moden dan progresif.
 
"Beliau kagum dengan kebolehan dan kejayaan Malaysia untuk melaksanakan prinsip-prinsip dan syariah Islam di samping menekankan bahawa Islam adalah agama yang tidak menghalang kemajuan malah apa yang telah dicapai oleh Malaysia ini boleh menjadi model dan contoh," Najib dipetik sebagai berkata kepada wartawan Malaysia di Astana.
 
Najib yang diiringi isterinya Rosmah Mansor, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, sedang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke sana sejak Khamis.
 
Sementara itu, dalam perkembangan berbeza, Nazarbayev juga dilapor berkata, ekonomi global kelihatan bersedia menghadapi kelembapan dalam jangka sederhana, yang memberi kesan kepada negara-negara baru muncul.
 
"Kita kini beralih ke peringkat pertengahan baharu di mana kemiskinan telah menjadi budaya atau norma yang membawa kepada ketidaksamaan dengan kadar kemiskinan yang lebih tinggi di Asia dan Afrika, yang mempunyai majoriti penduduk di dunia," beliau dipetik sebagai berkata dalam ucapan pembukaan pada sesi pleno Persidangan Antikrisis Dunia II di Astana semalam.