Formula 'BN-Plus' dicadang untuk kestabilan di S'wak
Diterbitkan: May 24, 2014 7:37 PM | Dikemas kini: May 24, 2014 7:39 PM
Formula 'Barisan Nasional (BN)-Plus' boleh dijayakan dalam suasana politik di Sarawak sekarang, kata Pembantu Menteri Kesihatan Awam Sarawak Datuk Dr Jerip Susil hari ini.
Ini kerana katanya formula serupa digunakan ketika krisis Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) pada 1983 yang pada akhirnya dapat mengembalikan kestabilan politik di negeri itu.
Sehubungan itu kata Jerip penubuhan Parti Tenaga Rakyat (Teras) merupakan platform yang tepat untuk menyelesaikan krisis dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sekarang.
"Ada yang menentang Teras menyertai BN namun niat kami adalah untuk kestabilan politik," kata Jerip yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bengoh semasa menjelaskan tindakannya dan sembilan lagi wakil rakyat BN menyertai Teras kepada sekumpulan pemimpin masyarakat, di Siburan.
Katanya mereka sudah bertemu dengan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang juga Pengerusi BN negeri dan menjelaskan sebab mereka meninggalkan SPDP dan SUPP.
Adenan menyambut baik langkah itu dan komitmen mereka untuk terus bekerja sebagai wakil rakyat BN, katanya.
Krisis dalaman SPDP bermula apabila Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom menerima kembali empat bekas pemimpin yang beliau pecat sebelum ini, tanpa berbincang terlebih dahulu dengan anggota majlis tertinggi parti.
Empat pemimpin yang juga Adun terbabit ialah Datuk Peter Nansian Ngusie (Tasik Biru), Datuk Sylvester Entrie Muran (Marudi), Rosey Yunus (Bekenu) and Paulus Palu Gumbang (Batu Danau).
Mawan bersama-sama empat pemimpin terbabit kemudian bertindak keluar parti dan menyertai Teras, diikuti empat Adun SUPP - Datuk Seri Wong Soon Koh (Bawang Assan), Datuk Dr Jerip Susil (Bengoh), Ranum Mina (Opar)and Johnicol Rayong (Engkilili).
Adun Pelangus daripada Parti Pekerja Sarawak Workers (SWP), George Laggong juga menyertai Teras.
- Bernama

