Utusan: Kenyataan Rayer hina Islam, Melayu
Satu tulisan pojok dalam akhbar Mingguan Malaysia mendakwa kenyataan ADUN Seri Delima RSN Rayer yang menyifatkan Umno sebagai parti "celaka" sebagai satu penghinaan kepada orang Melayu dan Islam.
Pengarang akhbar tersebut dalam tulisan di ruangan Bisik-bisik Awang Selamat itu menulis, ia merupakan penghinaan kepada Melayu dan Islam kerana golongan tersebut "menaungi" parti Umno.
“Maka boleh diandaikan perbuatan Rayer mendapat restu kepimpinan DAP. Juga boleh ditafsir bahawa Rayer menghina Islam dan Melayu kerana Umno dinaungi ramai orang Melayu dan Islam,” tulisan itu dipetik.
Gelaran "Umno celaka" itu mula-mula sekali diucapkan oleh Rayer dalam satu persidangan DUN Pulau Pinang dan diulangi sekali lagi dalam satu ceramah pada Khamis malam lalu.
Kenyataan itu menyebabkan para penyokong Umno berhimpunan dan mencetus kekacauan di tiga lokasi berbeza minggu lalu.
Pengarang itu juga mengakui bahawa kumpulan penyokong Umno bertindak ekstrem dalam bantahan ke atas kenyataan tersebut.
Namun pengarang tersebut tetap mempertahankan tindakan berkenaan kerana kenyataan Rayer itu merupkan provokasi yang mencetuskan kemarahan orang Melayu.
"Lalu mudah untuk semua faham mengapa ramai marahkan Rayer kerana provokasi beliau keterlaluan. Jangan salahkan pihak lain jika berlaku tindak balas.
"Ekstremisme mengundang eksremisme," kata pengarang itu lagi dalam tulisannya.
Pada hari Rabu lalu, sekumpulan anggota Pemuda Umno Pulau Pinang meluru masuk ke Dewan Undangan Negeri dan meminta Rayer diserahkan kepada mereka.
Pada hari Jumaat, perhimpunan anjuran kumpulan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan bertukar ganas apabila para peserta mencabut papan tanda ibu pejabat DAP Kuala Lumpur dan mengancam untuk membakar bangunan tersebut.
Di Kuantan, Pahang, peserta bantahan anjuran Pemuda Umno menendang dan membaling telur ke arah pejabat DAP Kuantan dan merosakkan papan tandanya.
[Berita penuh menyusul]

