LDP gantung enam bahagian
Parti Liberal Demokratik (LDP), sebuah parti komponen Barisan Nasional di Sabah mengumumkan penggantungan enam bahagian sementara menunggu penstrukturan semula bahagian terbabit.
Setiausaha Agung LDP Ir Yong Wui Chung berkata bahagian terbabit ialah Tanjung Papat, yang diketuai bekas Presiden LDP Datuk Liew Vui Keong, Sungai Sibuga (Yap Mah Chun), Sekong (Michael David Tsen), Tungku (Datuk Kwan Wing Hung), Karambunai (Loretto S.Padua Jr) dan Sulaman (Jackson Choi Sin).
"Pada masa sama, parti turut memutuskan bahawa sementara menunggu penstrukturan semula bahagian terbabit, Edward Wong Kon Fan dilantik sebagai penyelaras bagi Tanjung Papat, Lam Jin Tak (Sungai Sibuga), Ir Yong Wui Chung (Sekong), Mejar Chong Su Vun (Tungku), Peter Chong Su Leong (Karambunai dan Sulaman)," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata keputusan itu dicapai sebulat suara selepas perbincangan panjang lebar serta hujah oleh 34 daripada 40 anggota Majlis Tertinggi LDP dalam mesyuarat di ibu pejabat parti itu kelmarin.
Yong menggesa semua anggota parti dalam bahagian yang digantung bertenang dalam tempoh peralihan itu, yang tidak membenarkan penganjuran sebarang aktiviti atau kenyataan akhbar oleh mana-mana pemegang jawatan dalam keenam-enam bahagian.
"Ahli diminta mematuhi keputusan Majlis Tertinggi dan jika gagal, tindakan tatatertib boleh diambil bagi memelihara imej parti," katanya.
Sementara itu, dalam mesyuarat semalam, selepas perbincangan dengan Majlis Tertinggi parti, Presiden LDP Datuk Teo Chee Kang melantik ADUN Karamunting Charles O Pang sebagai anggota majlis itu seperti yang diperuntuk perlembagaan parti.
Charles O Pang hadir pada mesyuarat itu.
LDP turut memutuskan bahawa Nancy Lim Guah Eng dan Lau Kim Ling maisng-masing dilantik sebagai Pengerusi parti bahagian Pantai Manis dan Sindumin yang diamanahkan untuk menyusun serta mengaktifkan bahagian terbabit.
- Bernama

