MH370 Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA)  dan firma satelit Inmarsat British hari ini mendedahkan data yang digunakan untuk menjejaki laluan pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH370 yang hilang.

Laporan Reuters menyebut, tindakan itu diambil susulan tuntutan daripada waris penumpang supaya firma berkenaan bertindak dengan lebih telus.

Waris penumpang penerbangan tersebut mendedahkan data tersebut di laman Facebook mereka, selepas memperolehinya dari Inmarsat dan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia.

Laporan berkenaan antaranya mengandungi data log komunikasi meliputi 14 bahagian data dari tujuh pautan 'handshake'.

Inmarsat pada minggu lalu mendedahkan, data tersebut melibatkan nombor-nombor yang dihantar dan diterima antara pesawat tersebut dengan satelit.

Satu daripada nombor berkenaan membawa maklumat masa, manakala nombor yang seterusnya merujuk kepada kekerapan komunikasi, lapor Reuters.

Kapal terbang Boeing 777 yang menempatkan 239 penumpang dan anak kapal itu hilang pada 8 Mac ketika dijadualkan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Penerbangan tersebut dipercayai berakhir di Lautan Hindi, di luar barat Australia.