NGO pro-Melayu, PERKASA mengumumkan untuk memperluaskan pengaruhnya kepada golongan Melayu di United Kingdom, termasuk golongan siswa, peniaga dan penjawat awam.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, ia juga bertujuan memberi peluang kepada orang Melayu menyumbangkan idea mereka dan mengembangkan perjuangan PERKASA di peringkat antarabangsa.

Katanya, projek yang dinamakan PERKASA UK & Europe itu sudahpun berjaya menarik seramai 253 orang ahli setakat ini.

Ia digerakkan oleh seorang pemimpin PERKASA, Kamal A Mohamad yang merupakan seorang ahli perniagaan, katanya.

“Pada 31 Mei, saya akan melancarkan penubuhan PERKASA UK & Europe. Ianya meliputi UK, Ireland, Perancis, Jerman, Belgium dan beberapa lagi tempat di sekitar Eropah. Tapi ianya berpusat di London.

“Ia ditubuhkan atas permintaan mereka (orang Melayu) yang berada di London dan Eropah.

“Masyarakat Melayu dan bumiputera di UK dan Eropah juga perlu diberi maklumat dan gambaran yang mereka perlu diberi maklumat dan gambaran yang betul mengenai perkembangan semasa di tanah air,” katanya seperti dipetik dalam kenyataannya.

Beliau turut meletakkan harapan supaya rangkaian pertubuhan itu menjadi “benteng fahaman liberal, pluralisme dan hak asasi” buat golongan Melayu di rantau itu.

Ibrahim Ali berpendapat kerjasama yang erat seperti itu akan memberikan banyak manfaat bersama untuk kebaikan rakyat dan imej Malaysia.