BERITA

Sultan Perak mangkat

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Mei 2014, 10:31 malam

Sultan Perak Sultan Azlan Shah Azlan Shah mangkat pada jam 1.30 tengah hari ini.

Perkara itu diumumkan oleh menteri besar Datuk Seri Zambry Abd Khadir ( kanan ) secara langsung di RTM hari ini.

Ekoran kemangkatan itu, bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang selama 100 hari di negeri itu manakala bendera Malaysia pula selama seminggu.

Semua bentuk hiburan, keramaian dan keraian dibatalkan dalam tempoh tujuh hari.

Menteri besar juga mengumumkan cuti umum di Perak selama sehari esok sebagai tanda berkabung.

Jenazah Almarhum akan dibawa ke Istana Kuala Kangsar esok pagi dan akan dimakamkan  di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas asar.

Sementara itu, Bernama melaporkan, baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Februari 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir.

Penghormatan terakhir  bagi pembesar negeri dan orang kenamaan adalah pada pukul 9 pagi esok manakala oleh orang ramai bermula 11 pagi hingga 2 petang, diikuti sultan-sultan, raja-raja dan pembesar negara asing mulai pukul 2 petang hingga 3 petang.

Zambry berkata bendera negeri Perak akan dikibar separuh tiang sepanjang tempoh perkabungan selama 100 hari mulai hari ini, sementara bendera Malaysia dikibar separuh tiang selama tujuh hari.

"Seluruh rakyat jelata negeri Perak telah kehilangan Sultan yang

dikasihi dan berjiwa rakyat.

"Saya Dr Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan

mewakili seluruh rakyat jelata negeri Perak Darul Ridzuan merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhum Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah di kalangan para Anbiya, Syuhada dan Solihin," katanya dengan sebak.

Baginda meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, seorang putera, Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia.

Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat pada 30 Mac 2012.

Sementara itu Bernama melaporkan jenazah Sultan Azlan Shah tiba di Istana Iskandariah pada pukul 8.15 malam ini.

Jenazah Almarhum yang dibawa oleh kenderaan Kementerian Pertahanan dari Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur disambut Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim.

Turut mengiringi adalah kenderaan membawa Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun serta kerabat diraja yang lain.

Raja DiHilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak Raja Normahani Shahar Shah tiba di istana pada pukul 9.15 malam.

Seramai 30 pelajar Ma'ahad Tahfiz Masjid Negeri hadir untuk menyempurnakan majlis tahlil dan bacaan Yasin sepanjang malam ini yang berlangsung di Balairong Seri Istana Iskandariah.

Tinjauan Bernama mendapati kenderaan silih berganti keluar masuk istana yang membawa kerabat diraja, orang-orang kenamaan, pegawai-pegawai kerajaan dan pasukan keselamatan.

Laluan utama yang menuju ke Istana Iskandariah di Bukit Chandan, ditutup berhampiran menara jam Kuala Kangsar bagi melancarkan lalulintas.   

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambery Abdul Kadir mengumumkan Almarhum Sultan Azlan Shah mangkat pada 1.30 tengah hari ini.

Sementara itu, PKR merakamkan sembah takziah di atas kemangkatan Sultan Azlan Shah.

Dalam satu kenyataan, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata mudah-mudahan Allah SWT memberikan keampunan-Nya dan melimpahkan rahmat-Nya buat Almarhum Sultan Azlan.

Manakala dalam satu kenyataannya, sekretariat akhbar kerajaan Selangor berkata, bendera akan dikibarkan separuh tiang di negeri Selangor sebagai tanda berkabung atas kemangkatan Sultan Azlan Shah. Lagi ucapan takziah

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.