Filipina pula kata tiada wang tebusan dibayar
Tiada wang tebusan telah dibayar untuk pembebasan pelancong China Gao Huayun (bawah) dan pekerja hotel Filipina Marcy Dayawan, demikian disahkan oleh ketua pasukan petugas anti-culik bagi kawasan selatan Filipina , Agrimero Cruz.
Menurut laporan AFP semalam, Cruz juga berkata kerajaan
Filipina akan mengenakan tuduhan jenayah terhadap penculik mereka , tetapi enggan mengulas lanjut kerana ia masih berunding untuk melepaskan mangsa culik yang lain.
Kenyataan Cruz itu bercanggah dengan laporan Reuters semalam yang memetik seorang pegawai polis Filipina yang tidak dinamakan bahawa "wang tebusan yang besar" telah dibayar bagi membebaskan wanita berkenaan.
Bagaimanapun, ianya selaras dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini bahawa tiada wang tebusan telah dibayar.
AFP juga melaporkan bahawa kumpulan pengganas yang menculik wanita tersebut - Abu Sayyaf - dipercayai menahan beberapa penduduk tempatan dan asing sebagai tebusan di dalam hutan di selatan Filipina , termasuk dua pemerhati burung rakyat Eropah yang diculik pada tahun 2012.
Sementara itu, Rakyat Post melaporkan semalam bahawa pekerja hotel Filipina, Marcy, telah ditahan untuk siasatan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi menentukan sama ada dia membantu penculik. terbabit.
"Kami akan terus menahannya sehingga kami berpuas hati dan
yakin bahawa dia tidak terlibat dalam kejadian penculikan itu, " Ketua Polis Sabah Hamza Taib dipetik sebagai berkata.
Menurut laporan itu, Marcy telah memasuki Malaysia secara haram dan bekerja di Singamata Reef Resort hanya dua bulan sebelum kejadian itu, dan akan dihantar pulang rumah jika didapati " bersih" .
Gao dan Marcy telah diculik oleh kumpulan bersenjata dari resort itu pada 2 April.
Dalam laporan berasingan , The Star melaporkan bahawa seorang rakyat Cina yang diculik dari Lahad Datu pada 6 Mei masih selamat , dan mungkin dibebaskan tidak lama lagi.
" Kemungkinan dia dibebaskan adalah baik," Ketua Pengaran Esscom, Datuk Mohamad Mantek dipetik sebagai berkata.
Beliau berkata pegawai keselamatan Malaysia dan Filipina masih berusaha untuk mendapatkan pembebasan pengurus ladang ikan Yang Zai Lin .

