AJK PAS sokong operasi JAIS
Anggota jawatankuasa kerja PAS mempertahankan operasi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas satu majlis perkahwinan mengikut adat Hindu, didakwa melibatkan pengantin wanita yang disyaki penganut Islam.
Riduan Mohd Nor berkata, tindakan tersebut mungkin terpaksa dijalankan oleh JAIS bagi menyelamatkan akidah wanita tersebut.
Jelasnya, umat Islam diharamkan berkahwin dengan penganut agama lain dan Islam juga mengharamkan penganutnya keluar dari agama tersebut.
"Tindakan gadis tersebut berkahwin di kuil dengan mengikut segala amalan dan ajaran Hindu dikhuatir akan menjejaskan akidahnya serta melanggar syariat Islam.
"Perkahwinannya di sisi Islam tidak sah dan akan menyebabkab zuriat yang diperolehi juga tidak sah taraf," katanya Riduan lagi dalam satu kenyataan.
Sementara itu, satu laporan The Malaysian Insider menyebut, JAIS menafikan bahawa jabatan tersebut membuat pemeriksaan di majlis perkahwinan tersebut dan tidak menjalankan apa-apa serbuan.
Timbalan ketua pengarahnya Ahmad Zaki Arshad berkata, petugasnya juga hanya mengambil keterangan daripada pengantin wanita tersebut.
Katanya tindakan itu untuk memastikan taraf agama pengantin wanita tersebut, yang turut diminta tampil ke pejabat JAIS di Shah Alam untuk siasatan lanjut.
Laporan Sinar Harian semalam menyebut JAIS menahan pengantin berkenaan, seorang wanita berusia 32 tahun ketika upacara perkakwinan sedang berlangsung bersama pasangannya, seorang lelaki beragama Hindu.
Wanita yang lengkap berpakaian pengantin itu ditahan oleh pasukan anggota JAIS di Petaling Jaya pada kira-kira jam 10 pagi.
Beliau seterusnya dibawa ke ibu pejabat pihak berkuasa tersebut untuk siasatan, hari Ahad lalu.
Operasi tersebut dijalankan dengan bantuan anggota polis yang berkawal di luar kawasan majlis tersebut, manakala keluarga mempelai memberi kerjasama baik, lapor akhbar tersebut.
JAIS dilaporkan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.
Peruntukan itu meliputi kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang beragama Islam supaya mengubah keimanan.
Laporan yang memetik satu sumber tidak dinamakan itu menyebut, bapa wanita tersebut yang beragama Hindu sebelum ini menukar agama wanita berkenaan kepada Islam.
“Wanita itu tidak mengetahui bapanya mendaftarkan dia dan tiga adik-beradiknya sebagai beragama Islam.
“Wanita itu hanya mengetahui perkara itu selepas saudara terdekat melihat sijil kelahiran (status agama) mereka tercatat agama Islam,” kata sumber berkenaan seperti dipetik akhbar harian itu.

