Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) telahpun membuka tender bagi memperoleh perkhidmatan sebuah syarikat

pakar untuk mencari pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370.

    

Kenyataan ATSB menyebut pencarian dalam air bagi pesawat jenis Boeing 777-200ER akan dipergiat mulai Ogos dan dijangka mengambil masa sehingga 12 bulan.

    

Petender berjaya dijangka menyediakan kepakaran, peralatan dan kapal yang diperlukan bagi menjalankan misi pencarian di selatan Lautan Hindi dengan kedalaman antara 1,000 dan 6,000 meter.

   

"Meskipun zon carian yang tepat sedang diusahakan oleh satu kumpulan kerja strategi pencarian antarabangsa, dijangka petender berjaya akan mencari di kawasan seluas sehingga 60,000 kilometer persegi berdasarkan persetujuan bersama

di mana pesawat itu berkomunikasi buat kali terakhir dengan satelit Inmarsat," katanya.    

    

Selain itu, syarikat berkenaan akan bertangungjawab untuk mengenal pasti secara positif dan memeta kawasan serpihan MH370 menggunakan peralatan khusus seperti kenderaan bawah air berautonomi yang dipasang sonar dan ditunda atau sistem pengimejan optik.

    

ATSB mengetuai misi pencarian atas permintaan kerajaan Malaysia berdasarkan Lampiran 13 kepada Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa.

    

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam.  

 

- Bernama