Elak pembakaran terbuka semasa El-Nino
Semua pihak digesa tidak melakukan pembakaran terbuka dalam tempoh cuaca kering berpanjangan kesan fenomena El Nino, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri
Dr James Dawos Mamit.
Beliau berkata pihak kerajaan negeri dan kerajaan tempatan serta pemilik tanah dinasihati supaya memantau kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, kawasan perladangan dan pertanian serta industri serta mengambil langkah mencegah pencerobohan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga boleh menyebabkan pembakaran terbuka dilakukan.
"Cuaca panas dan kering berpotensi menyebabkan kebakaran terbuka yang menyumbang kepada masalah jerebu. Oleh itu, saya menggesa orang ramai supaya memberikan kerjasama dan tidak melakukan pembakaran terbuka," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Rakan Alam Sekitar (RAS) sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2014 di Port Dickson hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Zoal Azha Yusof dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Datuk Halimah Hassan.
Berdasarkan Pertubuhan Meteorologi Sedunia, fenomena El Nino dijangka melanda dunia sekitar pertengahan tahun ini.
Kesan El Nino kepada Malaysia secara umumnya akan menyebabkan taburan hujan berada di bawah paras purata semasa musim monsun barat daya.
Monsun Barat Daya telah bermula 15 Mei lalu dan dijangka berterusan sehingga bulan September yang secara amnya monsun ini merupakan musim kering bagi Malaysia.
Dawos berkata Jabatan Alam Sekitar akan meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan bagi mengawal aktiviti pembakaran terbuka.
Katanya mereka yang sabit kesalahan melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.
Menurut Dawos, sehingga 26 Mei lalu tahun ini, sebanyak 38 kertas siasatan bagi kesalahan melakukan pembakaran terbuka sedang dilengkapkan untuk tujuan pendakwaan di mahkamah.
"Dalam tempoh yang sama, sebanyak 3,782 kes pembakaran terbuka telah dikesan iaitu pembakaran terbuka melibatkan kawasan hutan (810 kes), kawasan pertanian (1,198 kes), kawasan industri (28 kes), kawasan pembinaan (116 kes), tapak pelupusan sampah (66 kes), kawasan belukar (887 kes) dan lain-lain pembakaran terbuka kecil (677 kes).
"Sebanyak 236 kes pembakaran terbuka telah dikenakan tindakan kompaun dan 86 kes telah dikeluarkan notis amaran," katanya.
Beliau berkata masyarakat yang aktif, peka dan mengambil tahu akan perkembangan situasi persekitaran masing-masing dapat membantu kerajaan dalam menangani pencemaran alam sekitar agar kualiti alam sekitar sentiasa terpelihara baik.
Mengenai RAS, beliau berkata sehingga kini, jumlah keanggotaan RAS ialah 177,883 orang di seluruh negara.
Katanya RAS sebagai nadi pengerak komuniti lestari diadakan dengan tujuan ke arah pembentukan komuniti yang peka terhadap isu-isu alam sekitar semasa dan bergiat aktif dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Pada majlis itu turut dilancarkan Pusat Rakan Alam Sekitar 1Malaysia
(PR1SMA) yang merupakan satu kadeah penyampaian informasi secara virtual atau digital menerusi sistem aplikasi Enviro-Knowledge Management Centre (E-KMC).
PR1SMA mengumpulkan dan memaparkan bahan-bahan rujukan berkaitan RAS dan alam sekitar untuk dimanfaatkan kepada orang awam.
- Bernama

