Kes demo Pemuda Umno: DAP adu pada EAIC
DAP membuat aduan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (EAIC) berhubung siasatan polis mengenai demonstrasi ganas anjuran Pemuda Umno di luar ibu pejabat DAP bulan lalu.
MP Segambut Lim Lip Eng mendakwa polis melanggar prosedur operasi piawai pasukan kerana tindakan pasukan tersebut masih belum dapat dilihat pada masa ini.
"14 hari selepas penahanan, kes tersebut sepatutnya dikemukakan kepada peguam negara untuk pendakwaan.
"Tapi hari ini sudah masuk hari ke-14, tiada tindakan yang berlaku," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Putrajaya.
Pada 26 Mei lalu, polis menahan enam orang pemimpin Pemuda Umno berhubung demonstrasi ganas yang dijalankan Pemuda Umno sebelum itu.
Para peserta berkenaan antara lainnya mengancam untuk membakar ibu pejabat DAP.
Antara yang ditahan termasuk ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii, ketua Pemuda Umno Cheras Johari Yazid, ketua penerangan Umno Wilayah Persekutuan Ghulam Muzaffar dan Ketua Pemuda Umno Bandar Tun Razak Rizalman Mokhtar.
Polis melepaskan kesemua yang ditahan selepas merakam kenyataan. Kes itu disiasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ancaman jenayah.
Sementara itu, Lim mendakwa polis melanggar garis panduan operasi kerana tidak memanggil saksi untuk mengenalpasi suspek.
"Oleh itu, DAP percaya mungkin ada campur tangan dari pihak atasan," tambahnya.

